suria

MH17: Kiev Tidak Jamin Laluan Ke Tapak Nahas Selamat - Najib

NEW YORK: Kiev tidak dapat memberi jaminan laluan selamat untuk pasukan penyiasat antarabangsa memasuki kawasan nahas pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine Julai lepas kerana ia tidak selamat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh Perdana Menteri Ukraine Arseniy Yatsenyuk ketika mereka bertemu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Kiev juga tidak dapat menyediakan jadual konkrit bilakah pasukan penyiasat antarabangsa boleh memasuki kawasan nahas, kata Najib pada Rabu (Khamis di Malaysia).

Najib berkata Yatsenyuk memberitahunya, tembakan dan letupan masih berterusan di timur Ukraine walaupun perjanjian gencatan senjata dilaksanakan.

Beliau berkata Malaysia bimbang tentang mayat penumpang dan anak kapal pesawat malang itu yang masih belum dituntut di tempat nahas serta bukti forensik di kawasan berkenaan.

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur semasa ia ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Sebanyak 43 rakyat Malaysia berada di dalam pesawat Boeing 777-200 itu dan setakat ini 40 mangsa tragedi warga Malaysia telah dikenal pasti dan dibawa pulang ke tanah air.

Najib berkata Putrajaya juga bimbang tentang musim sejuk yang bakal melanda di kawasan itu yang boleh menjejaskan bukti forensik.

Ditanya sama ada Putrajaya akan memulakan rundingan dengan pihak pemberontak untuk laluan selamat pasukan penyiasat antarabangsa ke kawasan itu, Najib berkata: "Hubungan komunikasi masih terbuka tetapi kita harus mengambil kira sensitiviti Kiev".

Najib berada di sini dari 20 Sept hingga 28 Sept bagi menghadiri Perhimpunan Agung PBB serta menghadiri majlis lain. 


MH17, MAS, KIEV

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain