suria

Sultan Selangor Yakin Azmin Dapat Sokongan Semua Adun

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
PETALING JAYA: Menteri Besar, Azmin Ali dipilih oleh Istana Selangor kerana Sultan Sharafuddin Idris Shah yakin beliau mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri. 

Setiausaha Sulit  baginda, Datuk Mohamad Munir Bani berkata Sultan mengambil kira kedudukan Azmin dalam partinya ketika membuat keputusan memilih Menteri Besar Selangor yang baharu. 

"Sultan yakin sebagai timbalan presiden PKR yang dipilih, Azmin semestinya mendapat sokongan bukan sahaja daripada partinya malah DAP dan PAS yang merupakan gabungan parti yang memerintah negeri Selangor pada ketika ini," kata Mohamad Munir dalam satu kenyataan. 


Mohamad Munir berkata bukanlah menjadi amalan Sultan untuk menangguhkan pelantikan seorang menteri besar, yang merupakan jawatan paling penting dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor. 

Bagaimanapun, situasi menjadi agak kelam-kabut apabila wujudnya percanggahan pendapat dikalangan parti komponen Pakatan Rakyat dalam pemilihan calon menteri besar yang baharu. 

Beliau menambah, keenganan PKR dan DAP menghantar lebih daripada satu nama menyebabkan Sultan terpaksa membuat pertimbangan calon lain yang layak walaupun mereka bukan daripada PKR.  

Mohamad Munir turut menafikan dakwaan Sultan campur tangan dalam soal pentabdiran kerajaan negeri. 

"Saya ingin menegaskan Sultan Selangor tidak pernah campur tangan dalam pentadbiran kerajaan negeri melainkan beliau hanya bertindak sebagai penasihat kepada menteri besar," katanya. 

Beliau menambah Sultan terpaksa mengggunakan budi bicara baginda seperti yang termaktub dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri dalam soal pelantikan menteri besar yang baharu.
Azmin, MB Selangor

Artikel Lain