suria

Lelaki Afrika Selatan, Wanita Thailand Ditahan Atas Kapal Mewah

ALOR SETAR: Seorang lelaki Afrika Selatan dan seorang wanita Thailand ditahan di atas sebuah kapal mewah di Jeti Kuah, Langkawi pada Khamis lalu kerana dipercayai memiliki senjata api.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata suspek yang berumur sekitar30-an dan 40-an ditahan pada tengah hari.

"Hasil pemeriksaan telah menjumpai tujuh laras rifle Benelli Agro yang dibuat daripada Itali dan sejumlah peluru pelbagai jenis di dalam kapal tersebut. Kita juga mendapati pemilik kapal mewah warga Afrika Selatan itu tidak mempunyai dokumen pengesahan untuk menyimpan senjata itu.

"Kita percaya kapal mewah milik persendirian itu dijadikan sebagai transit oleh kapal lain untuk menyimpan senjata api," katanya dalam sidang media pada Sabtu.

Beliau berkata suspek direman selama seminggu sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 7 (1) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Sementara itu Ahmad berkata Unit Narkotik IPK Kedah menahan dua lelaki di Pekan Sungai Petani kerana dpercayai memiliki dadah.

"Suspek sedang dalam proses menjual dadah di kawasan letak kereta dan hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, menemui 10 ketul ganja seberat 9.8 kg, 15 paket heroin (4.6 kg) dan dua paket syabu seberat setengah kilogram yang dianggarkan bernilai RM150,000," katanya.

Beliau berkata seorang suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau yang turut melibatkan kes dadah. Suspek kini ditahan reman sehingga Khamis. 

Artikel Berikut

Artikel Lain