suria

Siasatan Kebocoran Soalan UPSR Selesai Minggu Depan - Polis

KUALA LUMPUR: Siasatan kes kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris dijangka dapat diselesaikan minggu depan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Gan Kong Meng berkata pihaknya dalam proses melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Peguam Negara.

"Siasatan terperinci telah dijalankan dan kita jangka kes berkenaan akan diselesai minggu depan," katanya.

Beliau berkata setakat semalam, 14 individu telah ditahan termasuk 12 orang guru, seorang agen insurans dan seorang jurutera.

Sementara itu sebanyak 22 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), 13 orang guru, seorang wartawan, ejen insurans dan jurutera.

Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan setelah murid mendudukinya pada 11 Sept manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 terpaksa ditangguhkan sebelum murid mendudukinya pada hari yang sama.

Lembaga Peperiksaan Malaysia menetapkan 30 Sept sebagai tarikh baharu peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran itu.


UPSR, Polis

Artikel Lain