suria

Patuh Kepada Perlembagaan Dapat Kekalkan Keharmonian Antara Kaum

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (kiri), bersama dengan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas. (gambar fail).
GEORGE TOWN: Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas hari ini berkata Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri perlu dijadikan landasan dan panduan untuk mentadbir negeri dan negara demi mencapai dan mengekalkan keharmonian kaum.

Beliau berkata hal yang demikian adalah disebabkan Perlembagaan Negara dan Undang-undang Tubuh Negeri yang digubal telah diluluskan mengikut lunas undang-undang sedia ada.
 
"Perpaduan antara kaum di bumi Pulau Pinang telah menjadi paksi kepada kejayaan pembangunan dan keharmonian semua penduduk negeri ini, keakraban antara kaum merupakan satu intipati keunikan perpaduan. 

Tindakan membelakangkan perlembagaan boleh menyebabkan amalan demokrasi tercabar dan menimbulkan keraguan terhadap keluhuran perlembagaan seperti dinyatakan dalam prinsip rukun negara," katanya semasa berucap di Majlis Penganugerahan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pulau Pinang. 

Dalam upacara sempena sambutan ulang tahun beliau ke-76 di Dewan Sri Pinang di sini menyaksikan 152 orang menerima pingat dan darjah kebesaran masing-masing termasuk Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Sebanyak 1,156 penerima darjah kebesaran dan pingat kehormatan negeri telah disenaraikan sempena sambutan itu dan Ali mendahului senarai berkenaan dan merupakan penerima tunggal Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran 'Datuk Seri Utama' sementara Raja Mohamed Affandi adalah penerima tunggal Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran 'Datuk Seri'.

Sementara itu, Abdul Rahman melahirkan rasa bangga apabila Pulau Pinang sering menjadi destinasi pilihan pelancong dalam dan luar negara, tanpa adanya kesan negatif ekoran tragedi nahas pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 dan MH17. 
 
"Jumlah pertambahan pelancong dijangka akan meningkat pada tahun hadapan apabila saya difahamkan bahawa Kerajaan Negeri akan melaksanakan perkhidmatan bas untuk pelancong, Penang Hop On Hop Off (HOHO) bermula Disember 2014. 
 
"Perkhidmatan HOHO ini dimaklumkan akan tertumpu di kawasan-kawasan pelancongan terutamanya di kawasan Tapak Warisan Dunia yang meliputi kawasan George Town dan Batu Feringhi," katanya. 

Beliau berkata dengan adanya perkhidmatan berkenaan bukan sahaja dapat menarik pelancong ke tempat-tempat bersejarah di negeri ini malah juga akan mempromosikan makanan, budaya dan adat resam penduduk setempat sekaligus membantu meningkatkan ekonomi penduduk Pulau Pinang. 

Artikel Sebelum

Artikel Lain