suria

MRT Dedah Laporan Siasatan Kejadian Runtuh Landasan Di Kota Damansara

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRTCorp) menyatakan tiada pengawasan yang mencukupi antara faktor yang membawa kepada keruntuhan blok landasan projek MRT di Kota Damansara, dekat sini, bulan lepas.

Dalam kejadian 18 Ogos itu,  tiga pekerja binaan lelaki warga Bangladesh yang bekerja di atas span jejambat landasan maut akibat dihempap landasan konkrit itu.

Dalam laporan yang dikeluarkan pada Jumaat, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata siasatan mendapati kekurangan kepipis telah menyebabkan landasan itu mempunyai kestabilan terhad dan oleh itu apabila parapet dipasang pada sebelah bahagian jejambat, ia mengakibatkan landasan jejambat itu runtuh.

"Jejambat itu tidak dipasang dengan galas yang kekal. Ia masih disokong pada bicu sementara. Tanpa kepipis menyokong jejambat itu manakala dengan bicu sementara, landasan jejambat itu tidak stabil.

"Ia akhirnya runtuh apabila bebanan mula berlaku pada satu bahagian apabila parapet dipasang," katanya dalam kenyataan tersebut.

Kepipis adalah kotak logam yang diisi dengan turap yang kemudian diletakkan pada pangkal tiang untuk menyokong jejambat ketika ia diletakkan di atas bicu sementara semasa proses pembinaan.

Sekiranya kepipis telah digunakan, Azhar berkata landasan jejambat itu tidak mungkin runtuh walaupun parapet dipasang di satu bahagian sahaja.

Siasatan terhadap kejadian itu dilakukan oleh MRT Corp dan MMC Gamuda KVMRT(PDP) Sdn Bhd, sebagai rakan penyampaian projek, Laporan itu mendapati beberapa faktor lain yang menyebabkan jejambat itu runtuh termasuk kekurangan kaedah membina parapet ke atas jejambat untuk trek tunggal.

Faktor lain ialah kegagalan mengenal pasti risiko dan pelaksanaan langkah mitigasi, gagal menyediakan pemeriksaan menyeluruh, dan pelan ujian, kegagalan berkomunikasi faktor risiko antara pelbagai pihak yang terlibat dalam kerja-kerja, dan pengurusan lemah kontraktor kecil.

Azhar berkata laporan itu telah mengenal pasti kakitangan dan organisasi iaitu MMC Gamuda KVMRT dan Syarikat Muhibbah Perniagaan dan Pembinaan Sdn Bhd, iaitu kontraktor utama Pakej V1 dan kontraktor mereka supaya bertanggungjawab diatas kejadian itu.

"Sebarang tindakan guaman terhadap mereka yang didapati bertanggungjawabhanya boleh diambil oleh kerajaan berdasarkan siasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. (DOSH).

"Saya percaya hasil dapatan DOSH daripada siasatan mereka akan sama dengan hasil siasatan kami," katanya.

Selain tindakan oleh DOSH, beliau berkata MRT Corp juga akan melaksanakanbeberapa langkah termasuk memecat individu-individu yang didapati telah bertanggungjawab atas kejadian itu serta menyenarai hitam kontraktor dan perunding daripada projek-projek masa depan.

Langkah-langkah lain termasuk menyemak semula kenyataan dan aliran proses kerja serta mengkaji keberkesanan Unit Penguatkuasaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar.

Dalam kejadian pukul 8.30 malam di tapak Projek MRT Pakej V1 dalam kawasan bekas tapak Institut Penyelidikan Getah Malaysia dekat Kota Damansara, tiga pekerja Bangladesh -- Mohammad Alauddin Mollik, Mohammed Faruk Khan dan Mohammad Elahi Hossain -- terbunuh.

Berikutan kejadian itu, Azhar telah mengumumkan peletakan jawatannya tetapi ia ditolak oleh lembaga pengarah syarikat berkenaan.

MRT Kota Damansara

Artikel Lain