suria

Ali Mamat Dikenang Sebagai Wartawan Jenayah Hebat Bernama

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kiri) mendengar penerangan oleh Aini Abdullah (kanan) mengenai penyakit suaminya, Ali Mamat sewaktu meluangkan masa melawat bekas editor Bernama itu yang terlantar sakit di kediamannya di Kampung Bukit Catak pada Ogos lalu.

KUALA LUMPUR: Pemergian bekas editor Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Ali Mamat dilihat satu kehilangan besar dalam dunia kewartawan terutamanya penulisan berita dan laporan jenayah.

Allahyarham Ali, 63, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Kubang Miang di sini pada 1.56 pagi Jumaat  akibat kanser hati.

Allahyarham, yang memenangi Anugerah Kajai pada 1982 dan 1988, dikenang sebagai satu-satunya wartawan yang mengikuti operasi polis ketika memburu penjenayah 'Botak Chin' pada 1976.

Walaupun penampilannya nampak garang, allahyarham sebenarnya amat disenangi sahabat dan rakan sekerja yang menyifatkan beliau sebagai seorang yang baik hati.

Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong berkata allahyarham adalah wartawan yang kental dan gigih dalam kehidupan dan kerjayanya.

"Ali Mamat akan dikenang sebagai wartawan gigih terutamanya dalam penghasilan berita-berita jenayah," katanya.

Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata allahyarham merupakan sahabat yang baik dan tidak kedekut berkongsi petua dalam pekerjaannya.

Bagi Timbalan Ketua Pengarang Meja Ekonomi Mikhail Raj Abdullah, allahyarhamadalah seorang yang berdedikasi dan rajin berusaha mencari berita-berita eksklusif untuk Bernama.

"Beliau juga sering mengenang pengalaman membuat liputan krisis tebusan Tentera Merah Jepun di Jalan Ampang di mana beliau berjaya hasilkan berita eksklusif mengenai insiden itu untuk Bernama," kata beliau.

Ketua Penyunting Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris Bernama M.Govind Nair pula menyifatkan Allahyarham Ali sebagai seorang wartawan jenayah yang hebat dan luar biasa.

"Beliau mungkin kelihatan garang, namun beliau seorang yang amat baik hati. Semasa tugasan pertama saya dalam bulan April 1974, beliau membantu saya mendapatkan berita eksklusif. 

"Ali seorang wartawan jenayah yang hebat. Saya masih ingat Badan Pencegahan Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) pernah menunggu beliau tiba sebelum memulakan sidang berita," katanya.

Penolong Pengarang Meja PBDN R. Ravichandran berkata beliau sangat terkesan dengan kehilangan allahyarham dan akan terus mengingati segala nasihat dan tunjuk ajarnya.

"Sangat sedih, allahyarham antara orang yang mendidik saya dalam dunia kewartawanan ketika saya mula bekerja, semoga keluarganya tabah menghadapi kehilangan ini," katanya.

Ketua Editor Tugasan BernamaTV Abdul Rahman Ahmad yang pernah bertugas bersama Allahyarham Ali di Biro Terengganu berkata allahyarham seorang insan yang peramah selain mempunyai budi pekerti yang baik.

"Ali Mamat adalah orang yang banyak mengajar saya mengenai kewartawanan. Saya sebak ketika mengimbau masa yang kami lalui ketika bekerja bersama,"katanya.

Konsultan Meja Berita Am PBDN S.Siva pula berkata: "Ali Mamat adalah antarayang menjadikan bidang kewartawanan sesuatu yang menyeronokkan...beliau meninggalkan kami dengan memori indah".

Sementara itu, Presiden Kelab Wartawan Terengganu  (Kawat) Ayob Mamat berkata allahyarham adalah antara pengasas Kawat semasa penubuhannya pada 1982.

"Allahyarham pernah menjawat jawatan Presiden Kawat pada awal penubuhannya ketika menjadi Ketua Biro Terengganu. Beliau juga merupakan orang yang mencetuskan idea pemberian Anugerah Kawat untuk wartawan cemerlang dalam liputan berita dan rencana di Terengganu," katanya.

Allahyarham Ali meninggalkan dua isteri Maimun Yahya, 55, dan Aini Abdullah, 42, serta tujuh anak.

Ali Mamat, wartawan, Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain