Terdahulu, pesawat jenis Charlie C130 yang membawa keranda kedua-dua jenazah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.02 pagi diringi Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof serta ahli keluarga terdekat mangsa.
Kedua-dua jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini bersebelahan pusara ibu bapa mereka, Ariza Ghazalee, 46, dan Tambi Jiee, 49 yang turut terkorban dalam nahas pesawat MAS MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, pada 17 Julai lepas.
MH17: Jenazah Dua Beradik Tiba di Kuching
Kenderaan jenazah melintasi keluarga Allahyarham Shaikh Mohd Noor Mahmood pada Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat. Tiga jenazah mangsa nahas pesawat MH17 tiba hari ini iaitu dua anak kepada Allahyarham Tambi Jiee, Muhammad Afzal Tambi dan adiknya Marsha Azmeena serta seorang anak kapal Shaikh Mohd Noor Mahmood tiba dari Schipol, Amsterdam awal pagi tadi. -Foto BERNAMA.
Sejurus tiba, 18 anggota dari Rejimen Keempat Kor Amor Diraja membawa keluar keranda yang membawa jenazah dua beradik itu untuk upacara penuh penghormatan tentera.
Upacara turut disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Muda Hal Ehwal Islam Sarawak Datuk Daud Abdul Rahman dan kira-kira 300 anggota keluarga dan sahabat handai mangsa.
Selesai upacara penghormatan, keranda dimasukkan ke dalam van jenazah untuk dibawa ke Masjid Jamek, Petra Jaya di sini untuk solat jenazah.


