suria

Dua Beranak Berdepan 420 Pertuduhan Seleweng 12 Juta Liter Minyak Subsidi

Lim Heap Hoe dan bapanya Lim Ah Hua mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di depan hakim. Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.
ALOR SETAR: Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 420 pertuduhan menyeleweng minyak bersubsidi berjumlah 12,286,347 liter membabitkan nilai RM24.6 juta tahun lepas.

Lim Ah Hua, 70, dan anak lelakinya, Lim Heap Hoe, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di depan Hakim Ibrahim Osman.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Oktober untuk sebutan semula kes.

Mereka masing-masing berdepan 140 kesalahan individu membabitkan 137 pertuduhan gagal menyediakan penyata jualan kepada pembeli sejurus selesai jualan barang berjadual, dua pertuduhan gagal menyelenggara buku stok seperti yang disyaratkan dan satu pertuduhan menjual kepada pihak yang tidak dibenarkan selaku pemborong.

Bagi kesalahan ini, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat Megasen Sdn Bhd di Batu 5, Simpang Empat, Mukim Pengkalan Kundur di sini antara 2 September dan 12 November 2013 mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 22(4) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, dan bagi kesalahan serta seterusnya, hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua beranak turut berdepan 140 pertuduhan sama sebagai pengarah syarikat berkenaan.

Bagi kesalahan ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum denda RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kedua serta seterusnya.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Khairul Fikrie Zubaidi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Loo Yook Khin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain