suria

MH17: Malaysia, Rusia Ikrar Heret Penjenayah Ke Muka Pengadilan

Hishammuddin Tun Hussein.
PETALING JAYA: Malaysia dan Russia akan bekerjasama untuk membawa pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi MH17 ke muka pengadilan, demikian menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin yang kini berada di Rusia berkata, beliau dan rakan sejawatnya, Sergei Shoigu bersetuju untuk memastikan pelaku insiden itu berhadapan tindakan undang-undang.

"Saya meminta bantuan Rusia agar memastikan laluan selamat kepada pasukan antarabangsa untuk masuk semula ke lokasi kemalangan.

"Shoigu menjelaskan bahawa keadaan di lokasi itu masih tidak stabil tetapi memberi jaminan untuk menghulurkan bantuan sebaik sahaja keadaan bertambah baik. Disebabkan kita mempunyai tempoh masa yang singkat kerana musim sejuk yang bakal tiba, jaminan Shoigu mengenai perkara ini amat dihargai," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebanyak 30 anggota petugas khas Polis Diraja Malaysia termasuk pegawai dan anggota dari cawangan Komando Vat 69, Forensik, Cawangan Foto, Persenjataan dan Unit Simpanan Persekutuan berlepas ke Ukraine baru-baru ini untuk meneruskan siasatan.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia ditembak jatuh di wilayah Donetsk pada 17 Julai lepas.

Sejumlah 43 rakyat Malaysia berada di dalam pesawat Boeing 777-200 itu dan setakat ini 32 mangsa tragedi warga Malaysia telah dikenal pasti dengan 31 daripadanya dibawa pulang ke tanah air.
MAS, MH17, Hishammuddin Tun Hussein

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain