suria

FitMalaysia Jenama Negara Sukan - KJ

KUALA LUMPUR: FitMalaysia akan dijadikan satu jenama dan identiti bagi melahirkan Malaysia sebagai sebuah negara sukan.


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, matlamat tersebut akan dapat dicapai dengan wujudnya gelombang dan gerakan besar-besaran menerusi penganjuran FitMalaysia.

"FitMalaysia akan dijadikan satu identiti dan bagi rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup cergas dan sihat.

"Jika gelombang ini dapat dikekalkan saya yakin hasrat kita untuk menjadi sebuah negara bersukan, cergas dan bersatu padu akan kita capai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran FitMalaysia peringkat kebangsaan di Dataran Merdeka, di sini, Ahad.

Menurut Khairy, FitMalaysia akan dijalankan secara berterusan dan akan dibawa ke setiap negeri, termasuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, FitMalaysia juga akan dibawa ke mesyuarat Kabinet bagi mendapat persetujuan daripada segi dasar dan menjadi acara tahunan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau menjelaskan bahawa model FitMalaysia di negeri-negeri lain adalah sama dengan model yang diperkenalkan buat pertama kali di Kuala Lumpur pada hari pelancarannya di Dataran Merdeka.

"Semua sama macam ini (hari ini).

"Ada larian, kayuhan dan di tengah-tengah padang kita adakan aktiviti kecergasan seperti Zumba dan sebagainya," katanya.

Ketua Pemuda Umno ini berkata, FitMalaysia juga mampu dijadikan platform untuk negara mencari bakat baharu dalam bidang sukan.

"Kalau ramai rakyat Malaysia yang cergas dan terlibat dengan sukan lagi mudah untuk kita mencari 'Datuk Lee Chong Wei atau Datul Nicol David akan datang'.

"Proses mengenal pasti bakat akan lebih berkesan," katanya.

FitMalaysia adalah program di bawah KBS yang menawarkan acara sukan dan kecergasan kepada segenap lapisan masyarakat iaitu acara larian, kayuhan, aktiviti kecergasan dan seni mempertahankan diri.

Ia mempunyai lima teras utama iaitu perpaduan, kesihatan, komuniti, inklusif dan bakat sukan.


 
FitMalaysia, Khairy Jamaluddin

Artikel Lain