suria

Rusuhan Di Stadium Negeri: Polis Akan Siar Gambar Pelaku

Sebuah kenderaan pacuan empat roda Polis jenis Perodua Kembara dibakar oleh perusuh yang bertindak agresif selepas perlawanan bola sepak Piala Malaysia antara Sarawak dan Perak di Stadium Negeri Petra Jaya di sini, Ahad lalu.
KUCHING: Pihak polis sedang mencari beberapa lagi individu yang terlibat dalam kejadian rusuhan di Stadium Negeri pada Sabtu lalu bagi membantu siasatan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, gambar mereka akan disiarkan di media tempatan tidak lama lagi dan beliau menyarankan mereka agar tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching dengan segera.

Beliau berkata, susulan rusuhan itu, polis mengadakan post-mortem dan mengenal pasti beberapa kelemahan di samping menyenaraikan cadangan sebagai penambahbaikan yang akan dikemukakan kepada pihak berkenaan, khusus bagi meningkatkan aspek keselamatan.

"Kita tidak seharusnya menyalahkan mana-mana pihak dalam insiden ini kerana soal keselamatan di stadium adalah tanggungjawab bersama," katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Rusuhan berlaku sejurus selepas perlawanan antara Perak dan Sarawak tamat yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 yang sekaligus menguburkan peluang Sarawak untuk mara ke saingan suku akhir.

"Saya harap kita semua akan belajar dari insiden ini dan menjadikan ia sebagai iktibar agar keadaan ini tidak berulang lagi," kata Muhammad Sabtu.

Polis sebelum ini menahan lima lelaki termasuk empat remaja dalam kejadian yang turut menyaksikan sebuah kereta peronda polis dibakar.

Beliau berkata, pada hari perlawanan, pihak polis sudah memeriksa semua penonton seawal pukul 5 petang di pintu masuk stadium bagi memastikan tiada sebarang barangan terlarang dibawa masuk.

Beliau berkata, polis telah mengadakan mesyuarat dengan beberapa pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Sarawak serta Perbadanan Stadium Negeri bagi menyelaras beberapa perkara termasuk isu keselamatan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata polis menahan dua lelaki Indonesia berumur 37 dan 44 tahun di sebuah hotel Jumaat lepas bagi membantu siasatan satu kes berkaitan dadah.

Muhammad Sabtu berkata, mereka ditahan sebagai susulan kepada siasatan berhubung rampasan syabu seberat 3.1 kilogram dan tangkapan seorang wanita warga Filipina di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada Khamis lepas.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak kira-kira pukul 3.05 petang, namun tiada rampasan barang kes yang diperolehi.

"Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan kedua-duanya kini direman sehingga 6 Sept ini bagi membantu siasatan," menurutnya dalam satu lagi kenyataan.

Semalam beberapa media Indonesia melaporkan bahawa dua anggota polis dari Kalimantan Barat ditahan di Kuching pada Jumaat lepas bagi membantu siasatan berkaitan kes dadah.


rusuhan, Stadium Negeri

Artikel Sebelum

Keputusan MUET Diumum Khamis Ini

Artikel Berikut

Abadikan Nama Sudirman Di Chow Kit

Artikel Lain