suria

Irmohizam Persoal Dana RM1 Juta Untuk PPS

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim mempersoal tindakan kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan dana sebanyak RM1 juta kepada pertubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) setiap tahun.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, walaupun PPS kononya ditubuh bagi menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat, namun kini pertubuhan tidak berdaftar itu hanya berperanan melindungi ketua menteri negeri berkenaan.

"Hari ini saya lihat fungsi dan tugas PPS ini hanyalah untuk mengawal dan menjaga keselamatan ketua menteri Pulau Pinang. Ini secara tidak langsung boleh dinyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukan RM1 Juta setiap tahun hanya untuk mengupah pasukan ini bagi mengawal dan menjaga keselamatan ketua menteri Pulau Pinang.

"Maka, kita mendapat gambaran secara jelas dan terang bahawa PPS ini merupakan satu badan yang kononnya bertopengkan kerja sukarelawan tetapi pada hakikatnya mendapat imbuhan daripada wang pembayar cukai di negeri itu," katanya dalam kenyataan pada Isnin yang turut mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana menahan seramai 154 ahli PPS yang merupakan pertubuhan tidak berdaftar untuk disiasat mengikut Akta Pertubuhan 1966 pada Ahad.

Ahli PPS itu ditahan di Balai Polis Lebuh Pantai, Georgetown selepas mengadakan aktiviti perarakan kemerdekaan untuk dirakam keterangan.

Irmohizam memberitahu, tindakan kerajaan DAP negeri itu menyamakan PPS dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Jelasnya, JKKK ditubuhkan melalui peruntukan undang- undang yang menjadikanya sebagai ejen pembangunan di peringkat akar umbi didalam sistem pentadbiran kerajaan dan turut berperanan sebagai penghubung di antara agensi-agensi kerajaan dengan rakyat.

"JKKK bukanlah sebuah badan beruniform dan terlibat dalam kawalan keselamatan. Maka membandingkan penubuhan PPS dan JKKK adalah satu perbandingan yang tidak masuk akal, tidak logik dan dibuat untuk menutup kesilapan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah menubuhkan serta menyalurkan geran kepada sebuah pertubuhan yang tidak diiktiraf oleh ROS," tegasnya.

PPS, Pulau Pinang, PDRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Guan Eng Cabar KPN Debat Isu PPS

Artikel Lain