suria

10 Sekeluarga Rai Kemerdekaan Berpakaian Tentera

Adnan Ab Malik, 48, (kanan) bersama keluarganya tampil dengan berpakaian celoreng tentera pada Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 Peringkat Negeri Kelantan yang diadakan di Padang Batalion Ketiga Rejimen 506 Askar Wataniah, Kem Sungai Durian

KUALA KRAI: Sebuah keluarga tampil dengan cara tersendiri untuk meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 di padang Batalion Ketiga Rejimen 506 Askar Wataniah Kem Sungai Durian di sini, Ahad, dengan memakai pakaian celoreng tentera.

Adnan Ab Malik, 48, yang berasal dari Kok Lanas, Kota Baharu hadir bersama isterinya Salmizan Hussin, 34, dan 10 anaknya yang berusia 17 hingga 2 tahun dengan membawa Jalur Gemilang serta memakai pakaian tentera.

Beliau berkata idea untuk berpakaian seperti tentera itu hadir dua minggu sebelum sambutan Hari Kemerdekaan.

"Saya terfikir untuk berpakaian begini dah lama, jadi saya buat persiapan dengan membeli pakaian terlebih dahulu.

"Jadi saya pergi beli kesemua pakaian ini di Rantau Panjang tanpa pengetahuan anak dan isteri," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 Peringkat Negeri Kelantan, di sini, Ahad.

Pada majlis berkenaan, Adnan turut menerima anugerah khas Keluarga Mithali Semangat Merdeka.

Adnan, pekerja Majlis Perbandaran Ketereh berkata beliau membelanjakan sebanyak RM500 untuk membeli kesemua pakaian berkenaan.

"Saya dan isteri serta anak bertolak dari rumah ke Kuala Krai seawal pukul 7 pagi untuk menghadiri sambutan tersebut, memang setiap kali sambutan hari kemerdekaan kami hadir untuk meraikannya," katanya.

Adnan berkata tindakannya berpakaian tentera itu adalah untuk menyemai semangat cintakan negara kepada anak-anaknya dan mahukan mereka menghargai kemerdekaan negara kerana ia merupakan satu nikmat.

Lebih 2,000 orang hadir menyaksikan perarakan dan perbarisan sempena Hari Kemerdekaan peringkat negeri Kelantan yang disertai 53 kontinjen dari seluruh negeri.

Merdeka, Kita Malaysia

Artikel Berikut

Artikel Lain