suria

Jemaah Haji Di Madinah Dalam Keadaan Baik

MADINAH: Kesemua 4,424 jemaah haji yang berada di Madinah sehingga Sabtu berada di dalam keadaan yang baik, dan telah mengikuti segala program ziarah yang dikendalikan Tabung Haji.

Pengarah Operasi Madinah Mohd Zakaria Bostam berkata hanya sedikit sahaja yang mengalami masalah batuk dan sakit biasa.

Zakaria, yang juga Naib Konsul Jeneral Tabung Haji di Jeddah, berkata para jemaah perlu memastikan mereka sentiasa memakai topeng muka jika berada di luar berikutan keadaan cuaca yang panas dan kering serta berhabuk.

Ini bagi menggelakkan mereka daripada menghadapi masalah pernafasan, katanya kepada media Malaysia selepas menghadiri majlis tahlil dan doa selamat sempena hari ulang tahun kemerdekaan negara ke-57 di sini Sabtu malam.

Beliau berkata jemaah haji juga perlu berpakaian sesuai dan minum air yang banyak memandangkan cuaca di sini kini purata 46 darjah Celsius di sebelah siang dan malam 42 darjah Celsius.

Beliau berkata kumpulan pertama jemaah haji, iaitu yang tiba pada Rabu lepas akan bergerak ke Makkah, Khamis ini untuk ibadah haji.

Sementara itu, sebanyak dua penerbangan akan tiba Ahad iaitu KT (kapal terbang) Tabung Haji ke-14 yang berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11.20 pagi waktu Malaysia yang akan tiba jam 2.50 petang waktu tempatan (7.50 malam waktu Malaysia).

Penerbangan itu membawa 279 penumpang.

Sementara itu, KT 15 pula akan berlepas jam 6.36 petang waktu Malaysia dan tiba di Lapangan Terbang Putera Mohamad Bin Abdulaziz di sini pada pukul 10.15 malam waktu tempatan (2 pagi waktu Malaysia) dengan membawa 276 penumpang.


Haji, madinah

Artikel Berikut

Artikel Lain