suria

Aduan Atau Pujian Tetap Beri Semangat Pertingkat Perkhidmatan – Imigresen

Ibrahim Abdullah.
PETALING JAYA: Sama ada aduan atau pujian, kedua-duanya tetap memberi semangat kepada Jabatan Imigresen untuk mempertingkatkan perkhidmatan lebih baik pada masa akan datang.
 
Pengarah Keselamatan dan Pasportnya, Ibrahim Abdullah berkata, agensi-agensi kerajaan sering menerima aduan terutama berkaitan masalah sekiranya pelanggan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.
 
“Orang ramai membuat laporan atau aduan adalah perkara biasa. Tetapi kami di Jabatan Imigresen masih menerima keadaan itu dan memperbaiki kelemahan.

 
“Jika ia adalah pujian mengenai kecekapan perkhidmatan kami, ia dianggap sebagai satu penghormatan dan penghargaan. Kami akan terus menambah baik perkhidmatan untuk kepuasan pelanggan,” katanya kepada mStar Online di sini, baru-baru ini.
 
Beliau mengulas surat seorang pembaca dalam akhbar The Star minggu lalu di ruangan ‘Views’ (Pandangan), memuji perkhidmatan beberapa pegawai Imigresen yang bersikap mesra pelanggan.
 
Pembaca yang dikenali sebagai Lee yang memperbaharui pasportnya di Pejabat Pasport di Menara Ikhlas, Presint 3, Putrajaya menyifatkan pegawai-pegawai berkenaan mengendalikan para pelanggan secara profesional.
 
Ibrahim berkata, setiap perkhidmatan memerlukan kerjasama antara pelanggan dan agensi kerajaan supaya ia dapat dilakukan dengan lebih baik secara berterusan.
 
Sebagai contoh katanya, bagi permohonan pasport, pelanggan dinasihatkan untuk membuat persediaan lebih awal tanpa menunggu pada saat akhir.
 
“Ini kerana keadaan tidak menentu boleh berlaku seperti gangguan teknikal yang mungkin akan mengakibatkan kelewatan. Kadang-kadang ia berlaku di luar kawalan.
 
“Oleh itu, kami berharap supaya pelanggan dapat bertimbang rasa dan memberikan kerjasama. Kami berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk anda,” katanya.
 
Menurut Ibrahim, permohonan pasport boleh dibuat di 65 pejabat imigresen di seluruh negara termasuk lapan cawangan di Pusat Transformasi Bandar (UTC).
 
Tambahnya, Jabatan Imigresen kini sedang mengkaji semula untuk mewujudkan kembali kemudahan memperbaharui pasport secara dalam talian.
 
Sejak Januari tahun ini, lebih 1.4 juta  pasport Malaysia dikeluarkan jabatan itu di mana sistem memproses pasport kini mengambil masa sejam selepas bayaran dibuat.
 

Artikel Lain