suria

Dua Murid Tahun Tiga Dakwa Diculik Di George Town

GEORGE TOWN: Dua murid perempuan Tahun Tiga mendakwa diculik di hadapan sekolah mereka di Batu Lanchang di sini Khamis.

Jurucakap polis berkata murid berkenaan mendakwa mulut mereka ditekup dengan kain oleh dua lelaki sebelum ditarik masuk ke dalam sebuah van berwarna putih dalam kejadian kira-kira 1.45 tengah hari.

"Bagaimanapun ketika van itu berhenti di sebuah bank di Jalan Masjid Negeri, mangsa mengigit tangan suspek dan dapat meloloskan diri," katanya.

Menurutnya, ketika melarikan diri murid berkenaan terserempak dengan ibu rakan sekolah mereka yang kemudiannya menghantar mereka ke sekolah semula.

Beliau berkata ibu kepada seorang murid itu yang juga guru di sekolah berkenaan melaporkan kejadian itu kepada polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Abdul Rahman Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu petang Khamis.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati tiada saksi melihat kejadian itu dan kes itu sedang disiasat.
culik, George Town