suria

Jokowi Berbicara Tentang Demokrasi Baharu Di Indonesia

Jokowi bergambar bersama penulis, Wong Chun Wai di pejabatnya di Jakarta. -foto AZMAN GHANI/The Star
JAKARTA: Joko Widodo, orang yang bakal menjadi Presiden Indonesia mempunyai arahan untuk pegawai-pegawainya iaitu memendekkan majlis-majlis yang memakan masa, ucapan panjang dan protokol, di mana ia telah menjadi satu tanda yang ditinggalkan golongan elit politik Indonesia sejak sekian lama.

"Apabila saya tiba di Jakarta, saya disediakan dengan pegawai-pegawai keselamatan yang tidak terkira banyaknya tetapi saya telah mengurangkan bilangannya kepada empat. Saya benci dengan protokol. Saya tidak mahu diuruskan dengan protokol. Saya tidak mahu ia menimbulkan kesukaran bagi rakyat untuk mendekati saya," katanya.

Beliau juga tidak mengambil berat rombongan pemimpin dan pegawai-pegawai politik, berterus terang mengatakan bahawa mereka perlu melakukan kerja-kerja mereka. 

"Ini adalah satu era kepimpinan horizontal (mendatar); ini adalah demokrasi baharu di Indonesia," katanya berulang kali untuk menggambarkan hubungan kerja yang menghubungkan seluruh masyarakat dengan organisasi tanpa sempadan, bukannya hubungan menegak yang menggalakkan feudalisme.

Ahli politik populis yang lebih popular sebagai Jokowi menikmati status 'megastar' di Jakarta di mana beliau benar-benar menjadi tumpuan di mana sahaja beliau pergi, terutama semasa 'blusukan' atau tinjauan mesra ke kawasan setinggan yang terletak di tebing sungai.

"Ia membolehkan saya memahami masalah rakyat. Ia juga membantu mereka memahami bahawa saya bekerja untuk memperbaiki kehidupan mereka," katanya sambil menambah bahawa beliau seronok mendengar dan bercakap dengan rakyat.

Beliau telah membuat lawatan mengejut ke kampung-kampung, adakalanya di tengah malam, membuat kejutan terhadap penduduk kampung, tetapi memberi kesan segera apabila berita lawatan itu dengan cepat merebak ke kampung-kampung lain.

Jokowi, 53, gemar memberitahu orang ramai bahawa bapanya adalah seorang pengumpul kayu kecil-kecilan dan keluarganya tinggal di pondok di tebing sungai yang sering mengalami banjir.

"Saya tahu bagaimana menjadi msikin. Membantu golongan miskin, terutamanya dalam keperluan kesihatan dan pendidikan mereka, akan menjadi keutamaan saya," kata presiden pilihan rakyat yang akan menduduki pejabatnya pada Oktober ini.

Beliau juga bercakap mengenai keluarga-keluarga yang perlu beratur setiap hari untuk mengambil air dari satu-satunya perigi yang dikongsi bersama.

Menurut 'Inside Indonesia', Jokowi dilahirkan di Solo (Surakarta), Jawa Tengah, pada tahun 1961 dan merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga.

Keluarganya berusaha membantunya melalui persekolahan dan akhirnya lulus dengan ijazah dalam bidang perhutanan dari Universiti Gadja Mada di Yogyakarta, pada tahun 1986.

Jokowi menyertai perkhidmatan perhutanan dengan perusahaan di Aceh sebelum kembali ke Solo pada tahun 1989 untuk bekerja dengan bapa saudaranya dan mempelajari selok-belok perniagaan perabot bermula daripada reka bentuk sehinggalah penghantaran.

Kemudian beliau membuka cawangannya sendiri dengan menjalankan perniagaan perabot kecil-kecilan.

"Saya tahu ramai orang mempunyai harapan yang tinggi terhadap saya. Satu-satunya cara untuk memenuhi harapan ini adalah dengan menggulung lengan baju saya dan terus bekerja keras," katanya.

Prestasi beliau sebagai Datuk Bandar Solo, sebuah bandar di Jawa Tengah, mendapat perhatian dengan keupayaannya untuk menyelesaikan isu-isu seperti banjir, jalan-jalan yang kotor dan kawasan penduduk miskin. Menjelang 2012, beliau dipilih sebagai Gabenor Jakarta, menjadikan beliau sebagai pesaing untuk jawatan presiden.

Artikel Lain