suria

Bakar Bendera PKR: Ketua AMK Cabang Dipecat

Aidil Haryman menyatakan pendiriannya untuk meletak jawatan menerusi FB.
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat Ketua Angkatan Muda (AMK) Cabang Kuantan, Aidil Haryman Mat Nor kerana secara terbuka memaparkan gambarnya membakar bendera parti melalui laman sosial Facebook.

Pengerusi Lembaga Disiplin parti itu, Dr Tan Kee Kwong berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menjalankan siasatan dan menyoal pihak terbabit.

“Dia sendiri mengakui bertindak membakar bendera parti dan mencabar agar dipecat daripada parti.

“Tindakan ini memberi implikasi buruk kepada imej dan kredibiliti parti  khususnya kepada masyarakat umum,” kata Kee Kwong menerusi kenyataan yang dikeluarkan Sabtu.

Lembaga Disiplin juga meneliti dan menyiasat beberapa kes berkaitan tatatertib serta disiplin anggota dan membentangkannya dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat pada 22 Ogos 2014.

Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta anggota MPP lain.

Selain Aidil Haryman, empat lagi anggota diberi surat tunjuk sebab dan digantung keanggotaan serta-merta sehingga siasatan selesai.

Antara yang digantung ialah Dr Wan Suhaimi Wan Daud (Cabang Pasir Mas), Nasiruddin Mohamad (Cabang Sepang), Abdul Rahim Abdul Wahab (Cabang Selayang) dan Rosmah Suly dari Cabang Batu.

Beliau berkata, mereka didapati terlibat dalam sidang media Pakatan Anak-Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (Pasmeb) bersama badan bukan kerajaan (NGO) lain yang mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor pada 20 Ogos lalu.

 

PKR, Lembaga Disiplin, AMK, pecat

Artikel Lain