suria

Kongres PKR: Pemimpin 'Gila Kuasa' Ditegur

SHAH ALAM: Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditegur supaya tidak bersikap 'gila kuasa' demi kepentingan politik peribadi hingga merosakkan imej parti.

Perwakilan Pahang, Ahmad Nizam Hamid berkata, pemimpin tertinggi PKR digesa supaya tidak hanya pandai meminta ahli peringkat bawah mentaati parti, sedangkan mereka berbalah sesama sendiri.

"Jangan kita yang di bawah ini...anggota-anggota parti ini sahaja yang diminta berdisiplin. Ahli bawahan yang tak tidur malam pasang bendera, pasang poster di minta taat setia kepada parti, tetapi yang diatas...jangan kamu pula buat ulah (tidak bertanggungjawab).

"Jangan kamu berebut-rebut, kepada orang bawah kamu katakan 'taat, taat, taat!' 'disiplin, disiplin, disiplin!' tapi yang di atas? Kamu akan dibuang dalam bakul sejarah," katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden di sini, Sabtu.

Teguran itu dilihat berdasarkan perkembangan terbaharu apabila wujud perpecahan di kalangan kepimpinan tertinggi PKR, termasuk sikap berpuak pemimpin tertentu selepas pemilihan parti baru-baru ini.

Pemilihan PKR menyaksikan wujud kem-kem tertentu, termasuk yang diketuai Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika masih berada dalam PKR.

Mengulas lanjut, Ahmad Nizam menggesa supaya semua pemimpin dan anggota PKR supaya kembali bersatu dan melupakan perbalahan yang timbul ketika pemilihan yang lalu.

"Mari kita bersatu dan lupakan perbezaan serta pilihan politik kita semasa pemilihan. Cukuplah saya orang A, saya orang B, saya orang C...ayuh kita kembali bersatu.

"Kembali sebagai ahli PKR dan saya ulang yang di atas itu pun perlu ada disiplin kerana ikan membusuk daripada kepala. Bagi yang tidak boleh terima, tak boleh nak tunduk atau setuju dengan keputusan parti, nasihat kita hanya satu, keluar dan buat parti sendiri," katanya.


PKR, Ahmad Nizam Hamid

Artikel Lain