suria

Khalid Jadi Tumpuan Media

Abdul Khalid Ibrahim.
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Selasa menjadi tumpuan media setelah dua hari tidak kelihatan memasuki pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Beliau bagaimanapun enggan mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media yang menunggu sejak awal pagi di lobi bangunan itu.

Menteri besar itu bagaimanapun meluangkan masa menghadiri program persidangan integriti anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini.

Ketika berucap merasmikan majlis itu, Abdul Khalid sempat memohon maaf kepada peserta persidangan yang turut terkena 'tempias' perhatian pihak media kepada beliau.

Beliau berkata:"Bagi saya, ia (perhatian pihak media) tidak mengapa kerana saya telah memutuskan untuk menjadi seorang ahli politik. Jadi, saya terpaksa menerimanya.

"Bagi anda, saya minta maaf kerana turut menerima tempias perhatian (oleh pihak media). Ini juga kita boleh katakan harga sebuah integriti," katanya.

Dalam ucapannya itu, Abdul Khalid menyentuh pentingnya sebuah kerajaan negeri menjaga amanah dan kepercayaan yang diberi oleh rakyat dengan memetik sebuah hadis yang berkaitan.

Kandungan ucapan itu seolah-olah menggambarkan situasi yang dihadapi beliau dengan pemecatannya daripada PKR kerana enggan mematuhi arahan parti supaya memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikannya.

Abdul Khalid, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, tampil dalam program itu selepas dilihat tidak menghadiri sebarang program sejak Khamis lepas.

Tindakan beliau yang turut enggan menjawab sebarang pertanyaan daripada pihak media di akhir acara juga dilihat seakan akur dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang meminta beliau tidak membuat sebarang keputusan atau pengumuman sehingga baginda pulang ke tanah air pada 27 Ogos.

Artikel Lain