suria

Anggota PPS Antara Yang Disyaki Serang Aktivis Sosial - Polis

GEORGE TOWN: Sebahagian daripada lapan lelaki yang didakwa menyerang seorang aktivis sosial pada majlis makan malam di sebuah tokong Cina di Air Itam, Ahad lepas adalah anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditubuhkan kerajaan DAP Pulau Pinang, kata polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata dua daripada kumpulan lelaki itu ditahan semalam dan dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa.

"Kami sedang siasat kes itu secara terperinci kerana maklumat yang diperoleh daripada dua pihak iaitu mangsa dan orang yang didakwa menyerangnya bercanggah," katanya tanpa mendedahkan bilangan anggota PPS yang disyaki terlibat dalam kejadian itu.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aldilfitri Polis Marin dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Pulau Pinang di sini, Mazlan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Akhbar pada Selasa melaporkan seorang aktivis sosial berusia 51 tahun mendakwa dipukul sekumpulan lelaki dipercayai anggota PPS pada satu majlis makan malam kerana tidak suka dengan kritikannya terhadap kerajaan negeri melalui laman sosial Facebook.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini berkata kerajaan negeri kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang mengaitkan insiden itu dengan PPS.

Beliau menegaskan bahawa ketika kejadian, dua anggota PPS itu tidak bertugas dan seorang daripadanya memakai baju-T PPS sebagai pakaian kasual.

Kedua-dua lelaki itu juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani berhubung kejadian itu, katanya sambil meminta polis menyiasat kes itu secara menyeluruh kerana ia adalah dakwaan yang serius terhadap PPS dan kerajaan negeri.

Phee berkata kedua-dua lelaki itu akan diwakili peguam Ramkarpal Singh yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor; Wong Hon Wai yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Itam; Adun Seri Delima RSN Rayer dan Adun Paya Terubong Yeoh Soon Hin.

Sementara itu, satu laporan polis dibuat terhadap aktivis sosial itu yang memuat naik status berunsur ugutan terhadap PPS.

Artikel Sebelum

Khalid Jadi Tumpuan Media

Artikel Lain