suria

Isteri Anak Kapal MH370 Terkejut Wang Suaminya Hilang

Chew dan suaminya Tan Size Hiang.

PETALING JAYA: Isteri kepada anak kapal Malaysia Airlines Penerbangan MH370 Tan Size Hiang amat terkejut wang dalam akaun bank suaminya telah dikeluarkan.

Elaine Chew, 35, berkata, dia tidak percaya seseorang itu mempunyai keberanian untuk berbuat demikian kepada Tan dan juga tiga lagi mangsa lain yang hilang bersama 239 penumpang sejak 8 Mac lalu.

"Tidak ada sesiapa dari pihak bank atau polis memberitahu saya mengenai perkara ini. Saya hanya tahu melalui laporan akhbar," katanya.

"Saya kemudian pergi ke bank untuk meminta maklumat, namun tidak diberitahu apa-apa kerana mereka berkata ia adalah sulit dan rahsia. Saya tidak tahu jumlah sebenar yang diambil."

Ini adalah kali kedua pergi ke sana. 

Chew berkata beliau dihubungi bank selepas tragedi MH370 untuk menyelesaikan bil-bil kad kredit suaminya tetapi tidak dibenarkan untuk melihat akaun suaminya.

"Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Saya tidak boleh lihat akaun suami saya tetapi orang lain boleh mengaksesnya dan mengambil wang itu. Saya terkejut. 

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysia Airlines, yang banyak mengambil berat tentang saya mengenai isu ini, terutamanya jabatan sumber manusia dan penjaga saya," kata Chew. 

Wang dari akaun Tan adalah antara empat akaun lain yang  dikeluarkan, dengan kerugian keseluruhan berjumlah RM110,643. 

Akaun lain milik rakyat Malaysia Hui Pui Heng, 66, dan warga China Ju Kun, 32, dan Tian Jun Wei, 29. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Persekutuan Datuk Mortadza Nazarene berkata Bukit Aman sedang memburu dua lagi suspek, termasuk seorang lelaki Pakistan, berkaitan dengan kes ini.

Seorang pegawai Malaysia HSBC Bank dan suaminya, kedua-duanya berusia 33 tahun telah ditangkap. 

Warga Pakistan Farran Ali, berusia 30-an, manakala suspek yang lain adalah warganegara Malaysia, yang hanya dikenali sebagai Raj dan dipercayai menjadi dalang. 

Ketua komunikasi HSBC Marlene Kaur berkata pihak bank mengenal pasti kes ini dan telah membuat laporan polis. 

"HSBC amat kesal dengan insiden itu dan meminta maaf kepada keluarga pelanggan kami di atas kesusahan ini dan memastikan tidak ada sebarang kerugian yang akan berlaku kepada akaun-akaun ini," jelasnya.

mh370, Tan Size Hiang, Elaine Chew

Artikel Lain