suria

Masa Semakin Suntuk Untuk Khalid Ibrahim Terus Kekal Sebagai MB

Pakar Perlembagaan, Prof Dr Shad Saleem Faruqi

PETALING JAYA: Pakar perlembagaan, Prof Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi berkata, masanya sudah semakin hampir untuk Tan Sri Khalid Ibrahim melepaskan jawatannya sebagai menteri besar berdasarkan perkembangan yang sedang berlaku sekarang.

“Matahari semakin hampir terbenam. Hanya tinggal cahaya yang samar-samar di hujung ufuk. Memang beliau berhak menentukan sama ada hendak melepaskan jawatan itu tetapi dalam sistem demokrasi berparlimen, ia adalah satu permainan nombor,” kata  Dr Shad.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada apa yang berlaku pada Khamis di mana Presiden PKR yang juga calon menteri besar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa sudah memperolehi sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri selepas 30 orang daripada mereka menandatangani diklarasi bersumpah untuk menyokongnya sebagai menteri besar.

Kesemua 15 wakil DAP, 13 wakil PKR dan dua wakil PAS menurunkan tanda tangan mereka menandakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Wan Azizah sebagai calon menteri besar.

Baki 13 lagi wakil rakyat PAS akan menentukan pendirian mereka selepas selesai mesyuarat Jawatankuasa Kuasa Pusat PAS Ahad ini.

Kesemua 12 ahli dewan yang mewakili Barisan Nasional (Umno) telah pun menyatakan sokongan mereka kepada Khalid.

Dr Shad menjelaskan bahawa keputusan muktamad siapa yang akan menjadi menteri besar terletak di tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Langkah yang paling demokratik ialah untuk menasihati Sultan agar memanggil sidang tergempar dewan secepat yang mungkin tetapi jika Khalid mahu membeli masa, dia boleh sahaja menunggu sehingga November. Dalam hal ini, sultan masih memiliki beberapa budi bicara,” ujarnya.

“Adalah secara perlembagaannya wajar untuk Sultan menerima mengadap mereka yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti di dalam dewan. Tetapi Tuanku Sultan mempunyai tiga pilihan. Pertama, menggunakan apa yang pernah berlaku di Perak iaitu Sultan sendiri menggunakan kuasa yang ada untuk menentukan siapakah yang baginda fikir mempunyai sokongan majoriti dengan meminta mereka yang mendakwa demikian supaya datang mengadap bersama-sama deklarasi bertulis tanpa perlu menunggu untuk dewan bersidang.

“Kedua, tunggu sehinga menteri besar sendiri menasihati baginda untuk memanggil sidang tergempar bagi menentukan siapakah yang akan menerima undi terbanyak dan ketiga, menteri besar sendiri memanggil sidang tergempar dewan. Dalam ketiga-tiga opsyen ini, Tuanku Sultan mempunyai budi bicara untuk memilih yang mana satu," jelas Dr Shad.

Tentang opsyen bagaimanakah nanti undi itu akan dijalankan, kata Dr Shad, ia terpulang kepada budi bicara Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh.

Artikel Lain