suria

39,254 Mesin Judi Komputer Dirampas Sepanjang Januari-Julai Ini

Abdul Samah melupuskan barang kes pada Majlis Pelupusan Barang Kes Mesin Perjudian Komputer di Balai Polis Pandan Indah di sini, Rabu.
KUALA LUMPUR: Polis Selangor merampas sebanyak 39,254 unit mesin judi berkomputer sepanjang Januari hingga Julai tahun ini menerusi 2,449 serbuan di seluruh negeri itu.

Ketua Polis Selangor. Datuk Abdul Samah Mat berkata, jumlah rampasan meningkat sebanyak 24,840 unit berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu 14,414.

"Seramai 2,316 individu turut ditahan sepanjang Januari hingga bulan lepas berbanding 1,195 individu ditahan tahun lepas dalam tempoh sama.

"Polis juga merampas wang tunai sebanyak RM207,468 sepanjang serbuan tahun ini," katanya selepas merasmikan majlis pelupusan barang kes mesin perjudian komputer di Balai Polis Pandan Indah, di Ampang dekat sini, Rabu.

Menyentuh mengenai Ops Dadu Khas yang bermula sejak 29 Jun lalu hingga 10 Ogos, Abdul Samah berkata, sebanyak 957 serbuan dijalankan dan 13,879 unit mesin judi berkomputer dirampas di sekitar Selangor.

"Wang tunai sebanyak RM58,061 turut dirampas," katanya sambil menambah polis Selangor sentiasa mengambil tindakan pemantauan dan pembanterasan terhadap kegiatan perjudian bagi mencapai matlamat negeri Selangor zon 'sifar' perjudian.




Artikel Lain