suria

Jumlah Pelajar Perubatan Tajaan Mara Mungkin Ditambah - Annuar Musa

Annuar Musa
PUTRAJAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) dijangka terus mempertingkatkan jumlah pelajar yang ditaja dalam bidang perubatan, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, kebanyakan pelajar cemerlang bercita-cita menjadi doktor, namun peluang itu tipis apabila adanya dakwaan berlakunya lebihan pelajar dalam bidang itu.

"Maka, Mara 'slow' sikit hantar pelajar. Tetapi adakah yang lebihan itu nak jadi doktor kerajaan. Apakah kita nak lahirkan doktor ini untuk makan gaji sahaja?

"Bagaimana dengan yang nak jadi doktor klinik, hospital swasta yang semakin banyak. Jadi kena periksa semula betul ke terlebih. Kerana itu (tajaan) bidang perubatan yang telah 'slow' kita pertingkatkan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan majlis penyampaian Diploma International Baccalaureate dan Anugerah Kecemerlangan Kolej Mara Banting di sini, Rabu.

Dalam pada itu Annuar turut menasihati graduan supaya tidak mensia-siakan peluang belajar di luar negara kerana ia tidak mudah diperoleh sekiranya mendapat keputusan peperiksaan yang kurang cemerlang.

"Bagi yang sudah mendapat tempat di universiti luar negara, selepas tamat ijazah pertama mereka digalakkan buat lepasan ijazah dalam bidang profesional.

"Jika dahulu memang pelajar tajaan kena pulang terus ke tanah air selepas tamat pengajian, tetapi kini kalau dapat peluang teruslah sambung belajar atau berkhidmat di sana untuk meningkatkan kualiti masing-masing," katanya.

Terdahulu seramai 389 graduan menerima diploma dan kebanyakannya layak melanjutkan pengajian ke luar negara.

Pelajar terbaik Diploma International Baccalaureate dengan menerima 45 mata ialah Amir Rafiq Mohamad Johari Palermo yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Queen Mary University of London, United Kingdom, September ini.


Majlis Amanah Rakyat, perubatan

Artikel Lain