suria

Murid Tahun Dua Maut Tercampak Dari Kereta Dipandu Ibu

IPOH: Seorang murid lelaki berusia lapan tahun maut selepas tercampak keluar dari kereta yang dipandu ibunya dalam kemalangan di Kilometer 1, Bagan Tiang, Jalan Tanjung Piandang, Parit Buntar, dekat sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Asisten Komisioner Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian pada 7.15 pagi itu, Muhammad Ilham Zaki Saaidi meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurut Mat Fauzi ketika kejadian, mangsa yang merupakan murid Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan Sungai Megat Aris, Tanjung Piandang itu sedang dalam perjalanan ke sekolah menaiki kereta yang dipandu ibunya Sharifah Mohd. Yusop, 39 tahun.

"Ketika tiba di tempat kejadian kereta Proton Saga Aeroback yang dipandu ibu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik," katanya ketika dihubungi di sini Rabu.

Semasa kereta itu terbalik, cermin pada bahagian kiri sebelah penumpang dipercayai telah pecah dan mengakibatkan mangsa tercampak keluar sebelum dihempap kenderaan tersebut, kata Mat Fauzi.

Beliau berkata, sebelum itu, kereta terbabit telah terlanggar dawai penyokong tiang elektrik di tepi jalan dan ia menyebabkan si ibu gagal mengawal kenderaannya.

Bagaimanapun, ibu mangsa yang tersepit di tempat pemandu tidak mengalami kecederaan.

Mayat dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Artikel Lain