suria

Pemecatan Tak Munasabah - Teng Chang Khim

SHAH ALAM: Datuk Teng Chang Khim menyifatkan pemecatannya sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor adalah tidak munasabah.

Chang Khim mendakwa ia berikutan keputusan pemecatannya dibuat sebelum beliau dan lima lagi exco mengeluarkan kenyataan kepada pihak media bahawa mereka tidak menyokong  Khalid kekal sebagai Menteri Besar selain mahu proses pengundian dibuat dalam sebarang keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

"Kenyataan saya dan lima lagi anggota Exco PKR dan DAP hanya dikeluarkan kepada pihak media pada 4.20 petang semalam.

"Tetapi pada sidang akhbar tengah hari tadi, Tan Sri Khalid menyatakan bahawa beliau menulis surat kepada Sultan Selangor pada 2 petang semalam dan Tuanku menitah balas surat berkenaan dalam masa dua jam iaitu sebelum kenyataan kami kepada media dikeluarkan.

"Bagaimana Tan Sri Khalid pada 2 petang boleh meramalkan kami akan mengeluarkan kenyataan tersebut dan seterusnya mencetuskan episod pemecatan kami," katanya dalam sidang akhbar di sini, Rabu.

Semalam, Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganabatirau daripada DAP dan Rodziah Ismail, Elizabeth Wong Keat Ping dan Dr Daroyah Alwi daripada PKR telah mengeluarkan kenyataan bersama kepada media bahawa mereka terus menjalankan tugas masing-masing tetapi menegaskan tidak akan berjumpa dengan Abdul Khalid kecuali pada mesyuarat mingguan MMKN.

Berikutan itu, semalam, Abdul Khalid menulis surat bagi meminta perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya mereka digugurkan serta-merta.

Teng bagaimanapun berkata beliau akur dengan perkenan Sultan Selangor berhubung pemecatannya.

"Saya akan kemaskan barang untuk kosongkan pejabat...mungkin ambil masa sebab saya juga perlu selesaikan beberapa tugas yang masih tertangguh," katanya.


Datuk Teng Chang Khim, pecat, exco

Artikel Lain