suria

Kerajaan Akan Terus Perkukuh Daya Saing Negara - TPM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkukuh daya saing global Malaysia menerusi usaha yang menyasarkan peningkatan persekitaran pelaburan dan mempromosi dasar-dasar, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Dalam membuat gesaan itu, beliau berkata, langkah itu akan meningkatkan perdagangan, memperkukuh bakat dan mencatat pertumbuhan produktiviti yang lebih tinggi, meningkatkan usaha untuk mengurangkan beban kawal aturan, selain memperkukuh keupayaan teknologi negara.

Sejak memperkenal Program Transformasi Ekonomi pada 2010, Muhyiddin berkata, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan negara berada pada kedudukan yang baik, dengan dasar mesra perniagaan diperkenal dan dilaksanakan.

"Perniagaan dibantu menerusi langkah berani dan bercita-cita tinggi bagi mentransformasikan ekonomi kita, yang seterusnya memastikan kita lebih menarik dan merupakan destinasi pelaburan pilihan," katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam ucaptama pada malam gala The Edge Billion Ringgit Club, Isnin.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan The Edge Media, Datuk Tong Kooi Ong.

"Meningkatkan daya saing negara merupakan objektif yang sangat penting, dan kita semua bertanggungjawab untuk merealisasikannya, secara individu dan secara kolektif," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan.

Beliau berkata, kerajaan melabur dan mempromosikan pertumbuhan baharu industri yang memberi peluang besar untuk sektor swasta terlibat dalam pembangunan.

Muhyiddin berkata, Malaysia kini melalui peralihan yang akan menentukan masa depan negara.

"Dalam kita menuju ke status negara maju, kita perlu mengubah ekonomi dan masyarakat seupaya lebih berdaya saing di peringkat dunia," katanya.

Bagi menjadikan swasta sebagai enjin baharu pertumbuhan, perniagaan perlu terbuka, telus dan memimpin ekonomi.

Muhyiddin berkata, kerajaan mahu mewujudkan persekitaran yang lebih kompetitif bagi membolehkan sektor swasta berjaya mengharungi liberalisasi dan penyahkawal aturan.

"Oleh itu, kita bangga kerana dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2014, Malaysia diperakui ekonomi ke-12 paling kompetitif antara 60 ekonomi," katanya.

Ranking itu meletakkan Malaysia di hadapan ekonomi maju seperti United Kingdom, Australia, Finland dan Jepun.

"Kita menyasarkan muncul antara 10 ekonomi paling kompetitif dalam beberapa tahun akan datang," katanya.

Kira-kira 178 syarikat berjaya dalam penilaian masing-masing untuk menjadi antara The Edge Billion Ringgit Club dalam kalangan 900 syarikat yang disenarai di Bursa Malaysia, suatu peningkatan besar berbanding 144 negara dalam senarai 2013.

Nilai pasaran 178 syarikat berjumlah RM1.54 trilion sehingga 31 Mac, 2014, antara 91 peratus daripada permodalan pasaran di Bursa Malaysia.

Muhyiddin juga menyampaikan The Edge Corporate Awards pada acara itu.


Artikel Lain