suria

Kadar Siling Kursus Memandu Diumum Minggu Ini

Liow bersalaman dengan penerima biasiswa UTAR-UEC, Annie Chung Xiao Wei pada majlis yang diadakan di kampus UTAR di Bandar Sungai Long, Kajang pada Isnin.
KAJANG: Kerajaan akan mengumumkan kadar siling bayaran kursus memandu untuk semua kategori berikutan pengenalan silibus baharu, minggu ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk campur tangan apabila terdapat banyak sungutan tentang peningkatan besar bayaran yang akan dikenakan.

"Walaupun kami tidak boleh mengawal bayarannya, tetapi kenaikan hingga 50 peratus atau 100 peratus seperti yang dicadangkan institut memandu adalah tidak munasabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan biasiswa Universiti Tunku Abdul Rahman kepada 61 pelajar Sijil Peperiksaan Bersepadu daripada sekolah tinggi Cina persendirian di sini, Isnin.

Kata Tiong Lai, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad telah berbincang dengan institut memandu tentang had maksimum bayaran dan silibus baharu itu.

Beliau berkata, kandungan silibus baharu itu disediakan profesional dan sebuah kumpulan pengkaji khas bagi tujuan meningkatkan kemahiran memandu dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sebelum ini, beliau menangguhkan pelaksanaan silibus baharu itu yang sepatutnya bermula awal bulan ini bagi membolehkan JPJ mengkaji semula kandungan dan kosnya.


Artikel Lain