suria

Polis PP Tahan Empat Lelaki Bantu Kes Culik

Abdul Rahim (tiga dari kiri) melayan petugas media di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Seberang Prai Utara pada Isnin.
KEPALA BATAS: Polis menahan empat lelaki rakyat asing bagi membantu siasatan kes penculikan dua rakyat Bangladesh yang seorang daripadanya ditemui mati di Bukit Gambir, dekat sini, pada Ahad.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, empat lelaki berusia antara 20 dan 30 tahun itu ditahan dalam operasi polis malam hari sama hingga awal pagi Isnin di sekitar Bukit Jambul, dekat sini.

"Kebanyakan yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu adalah rakan mangsa. Usaha mengesan mereka yang terlibat dalam kejadian culik dan bunuh itu giat dijalankan," katanya kepada pemberita selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Logistik Polis Pulau Pinang, di sini, Isnin.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Semalam, mayat seorang rakyat Bangladesh berusia 39 tahun yang dilapor diculik sekumpulan lelaki Myanmar Khamis lepas, ditemui dalam keadaan bogel dan mukanya ditutup dengan baju serta terdapat kesan jerutan di leher.

Sabtu lepas, polis menerima laporan daripada seorang lelaki Bangladesh mendakwa dia dan seorang lagi rakannya diculik dan dibawa ke atas bukit berkenaan serta kumpulan penculik terbabit meminta wang tebusan sebanyak RM200,000 daripada rakan-rakannya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Abdul Rahim berkata, polis menahan seorang remaja lelaki bagi membantu siasatan kes seorang ahli perniagaan diserang sekumpulan lelaki manakala rakan wanitanya diculik dan dirogol ketika berehat di hentian Jambatan Pulau Pinang, di sini 3 Ogos lepas.

Beliau berkata, remaja berusia 19 tahun itu ditahan di Tasek Gelugor, di sini pada Sabtu susulan penahanan lima rakannya pada hari sebelumnya dan polis menemukan semula pelbagai barangan dan dokumen milik mangsa.

"Dengan penahanan enam lelaki berusia 19 hingga 25 tahun itu, kami percaya telah berjaya menyelesaikan kes itu. Siasatan juga mendapati kumpulan yang memang aktif menyamun terutama ketika awal pagi itu turut terlibat dengan beberapa kes di Perak dan Kuala Lumpur," katanya.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, lelaki yang berusia 46 tahun itu dan seorang kawan wanita rakyat asing berusia 22 tahun yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Seberang Perai, diserang empat lelaki ketika berehat di jambatan itu.

Suspek dikatakan menyerang dan menyamun lelaki berkenaan serta melarikan wanita itu bersama-sama kereta Hyundai Elantra milik mangsa sebelum merogol dan meninggalkannya di kawasan terpencil di Sungai Dua iaitu lima kilometer dari tempat kejadian.


Artikel Lain