suria

MH17: Seluruh Negara Dicadangkan Bertafakur Seminit

Hishammuddin dan Tiong Lai (kanan).

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mencadangkan supaya seluruh negara bertafakur selama seminit apabila jenazah mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 tiba di tanah air. 

Beliau berkata ia antara cara bagi segenap lapisan masyarakat untuk menzahirkan dan berkongsi rasa kesedihan mereka dengan keluarga mangsa tragedi itu.

"Sekiranya idea ini mendapat sambutan baik, seluruh rakyat Malaysia tidak kira warna kulit, agama, kaya atau miskin dapat memberi penghormatan kepada jenazah yang akan tiba di bumi kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kepong 2014 pada Ahad.

Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Hishammuddin berkata beliau akan membincangkan perkara itu pada Isnin dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang turut terlibat dalam Jawatankuasa Koordinasi Persediaan Pelaksanaan Istiadat Penerimaan Jenazah Warganegara Malaysia Tragedi Pesawat MH17.

Penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.

Ia mengorbankan 298 orang termasuk 43 warga Malaysia.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh namun, setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain