suria

Ebola: 24 Rakyat Malaysia Di Liberia Dipindahkan Ke Ghana Rabu

Sekumpulan jururawat menyembur bahan disinfektan sebagai langkah pencegahan terhadap virus Ebola di Liberia. Foto EPA

PETALING JAYA: Seramai 24 rakyat Malaysia di Liberia dijangka dipindahkan ke Ghana pada Rabu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak Penyakit Virus Ebola (EVD) yang dikesan di negara Afrika Barat itu.

Setiausaha Bahagian Konsulat Kementerian Luar, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, kesemua mereka merupakan pekerja yang bertugas di syarikat perladangan milik rakyat Malaysia yang berpangkalan di Liberia.

Katanya, arahan telah pun dikeluarkan berhubung perpindahan mereka dari Liberia ke Ghana dengan bantuan Kedutaan Besar Malaysia di Accra, Ghana.

“Kesemua 24 pekerja warga Malaysia dijangka dipindahkan esok (Rabu). Bagaimanapun, ia bergantung kepada kelulusan permohonan visa mereka yang dibantu oleh kedutaan besar kita di Accara.

“Mereka kemudian akan ditempatkan sementara di Ghana sehingga pemberitahuan lanjut oleh ibu pejabat syarikat terbabit di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Penularan penyakit Ebola kini dikesan di tiga kawasan di Afrika Barat di Sierra Leone, Liberia dan Guinea.

Zulkifli berkata, tiada rakyat Malaysia yang berada di Sieraa Leone dan hanya empat kakitangan yang bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di Conakry, Guinea.

“Belum ada arahan mengenai perpindahan empat pegawai kedutaan kita di Conakry pada masa ini. Bagaimanapun, kita mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Sementara itu, katanya, pada masa ini tiada cadangan untuk menghentikan pengeluaran visa kepada warga asing dari kawasan terjejas ke Malaysia.

Tambahnya, ini disebabkan jumlah pelawat asing dari kawasan berkenaan begitu kecil dan tiada penerbangan secara terus dari mana-mana kawasan itu ke Malaysia.

Menurut Zulkifli, pihak kedutaan Malaysia di sana akan terus memberikan laporan perkembangan wabak Ebola kepada Kementerian Kesihatan di sini.

“Kita hanya akan menghentikan pengeluaran visa kepada rakyat di negara-negara terjejas akibat wabak Ebola sekiranya mendapat arahan daripada Kementerian Kesihatan dengan persetujuan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen,” katanya.

Sehingga kini, terdapat lebih 1,200 kes Ebola disahkan di negara-negara berkenaan. Lebih 800 orang meninggal dunia akibat penyakit itu sejak Februari lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain