suria

Krisis MB Selangor: Dakwaan PKR Biar Mahkamah Tentukan - Khalid

SHAH ALAM: Sebarang dakwaan salah laku dalam perjanjian tanah dan tawaran perniagaan melibatkan kerajaan Selangor perlu diputuskan oleh pihak mahkamah, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

 

Kenyataannya itu adalah mesej ringkas Menteri Besar Selangor itu kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membuat dakwaan menerusi nota penjelasan merangkumi fakta kes berkaitan kelemahan aspek integriti Khalid.

"Ada kenyataan (oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution) mendakwa saya terlibat dengan salah laku, saya mahu perkara itu diselesaikan oleh pihak mahkamah, kerana saya percaya kepada ketelusan," katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Shah Alam, di sini.

Nota penjelasan lebih 50 muka surat itu mendedahkan mengenai salah guna kuasa Khalid sebagai Menteri Besar, antaranya dakwaan hutang Khalid sebanyak RM66.67 juta (AS$18 juta) dengan Bank Islam untuk membeli saham syarikat dan penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor oleh Khalid kepada EcoWorld dengan harga lebih murah daripada nilai pasaran untuk projek pembinaan rumah.

Dokumen itu akan diserahkan kepada pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mulai hari ini.

Selain kenyataan Saifuddin, Khalid memberi maklum balas sedemikian bagi menjawab cadangan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli bahawa Khalid boleh kekal sebagai menteri besar sekiranya dapat memberi penjelasan berhubung dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Mengenai spekulasi beliau akan dipecat parti, Khalid berkata, sehingga kini dia masih kekal sebagai Menteri Besar. 

"Saya tidak pernah menerima sebarang surat dan saya tidak berhak untuk mengulas mengenainya," katanya. 

Sebelum ini, PKR telah membuat keputusan bahawa Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik untuk menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar. 

Khalid, Wan Azizah, MB Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Lain