suria

Mahkamah Tinggi Diarah Dengar Isu Bidang Kuasa, Status Mastautin Kes Cerai

Tan Sri Khoo Kay Peng (kiri) dan Pauline Chai Siew Phin.
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar dengan kadar segera isu bidang kuasa dan status mastautin dalam kes perceraian antara bekas Ratu Cantik Malaysia dan suaminya jutawan Tan Sri Khoo Kay Peng.

Panel lima hakim dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar tidak membenarkan permohonan Khoo, 74, untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan kes itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk penentuan dua isu itu.

Berikutan keputusan itu, Mahkamah Tinggi kini akan mendengar dan memutuskan status mastautin isteri Khoo, Pauline Chai Siew Phin dan berhubung bidang kuasa mahkamah sama ada mahkamah di Malaysia atau di England akan mendengar kes perceraian mereka.

Semasa menolak permohonan Khoo bagi kebenaran untuk merayu, Hakim Suriyadi berkata mahkamah mendapat beliau gagal memenuhi keperluan utama mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

"Kami berpeluang membincangkannya. Namun, amat dikesali akan terdapat orang yang tidak gembira," katanya.

Panel yang turut dianggotai hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Datuk Seri Abu Samah Nordin, juga menolak permohonan Chai bagi kebenaran merayu terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonannya bagi perintah penangguhan.

Chai, 67, Ratu Cantik Malaysia/Antarabangsa 1969, memohon penangguhan semua prosiding mahkamah di Malaysia yang difailkan Khoo sementara menunggu sehingga selesai prosiding perceraiannya di England.

Mahkamah di England menetapkan perbicaraan selama 10 hari dari 29 Sept untuk menentukan sama ada ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar prosiding perceraian itu.

Hakim Suriyadi, sementara itu turut memerintahkan Khoo dan Chai menanggung kos perundangan masing-masing bagi prosiding di Mahkamah Persekutuan Isnin.

Pada 22 April lepas, Mahkamah Rayuan mengembalikan semuka kes itu ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur untuk perbicaraan semula bagi menentukan isu bidang kuasa dan status mastautin selepas memutuskan terdapat terlalu banyak fakta menjadi pertikaian.

Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Disember, 2013 yang membenarkan Khoo untuk tidak menghadiri sesi dengan badan pendamai di London dan juga memutuskan Khoo boleh memfailkan petisyen perceraiannya di Malaysia.

Chai mahu Mahkamah England memutuskan prosiding perceraiannya kerana mendakwa beliau tidak lagi bermastautin di Malaysia sejak 1980 dan kini tinggal di England.

Pada Februari tahun lepas, Chai memfailkan petisyen perceraian di mahkamah di London memohon harta sepencarian 500 juta pound (kira-kira RM2.75 bilion).

Khoo merupakan pengerusi syarikat pelaburan antarabangsa, Malayan United Industries Bhd yang terbabit dalam bidang runcit, hotel, makanan dan kek, perkhidmatan kewangan dan hartanah kini tinggal di Ampang, Kuala Lumpur, memfailkan petisyen perceraian di Mahkamah Malaysia.

Pasangan itu berkahwin pada 1970 dan mempunyai lima anak.
Dilaporkan harta sepencarian yang bakal diperoleh Chai akan berkurangan sekiranya perceraian itu diputuskan mengikut undang-undang Malaysia.

Khoo diwakili peguam Datuk Dr. C.V. Das manakala Chai diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar.

Artikel Lain