suria

304 Kes Direkod Dalam Ops Titik Sehingga 31 Julai

Datuk Seri Hasan Malek
KUALA LUMPUR: Sehingga 31 Julai lalu, Ops Titik yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merekod sebanyak 304 kes penyelewengan petrol, diesel dan gas petroleum dengan barangan disita bernilai RM14.11 juta.

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata operasi bersepadu bersama Pasukan Petugas Khas Jabatan Peguam Negara itu turut menjalankan 12,481 pemeriksaan bagi mengenal pasti kawasan panas penyelewengan bahan api itu.

"Kesemua yang terlibat dalam jenayah penyelewengan bahan petroleum bersubsidi ini sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sebahagiannya telah didakwa di mahkamah", katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Hasan berkata antara negeri yang mencatat kes tertinggi ialah Kedah iaitu 55 kes diikuti Kelantan (36 kes), Perak (28 kes), Sarawak (27 kes), Sabah (25 kes), Perlis (23 kes) dan Selangor (22 kes).

Tempoh Ops Titik bermula 15 Mei lepas hingga 31 Dis ini dan selepas tempoh itu, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan sebagai operasi biasa, katanya.

Ops Titik disertai pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Unit Pencegahan Penyeludupan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Menurutnya operasi itu berjaya mengatasi isu kekurangan bekalan minyak diesel yang sebelum ini kerap berlaku di stesen-stesen minyak terutamanya setiap hujung bulan kerana kehabisan kuota disebabkan masalah penyelewengan itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyelewengan bahan petroleum bersubsidi diminta membuat aduan kepada kementerian berkenaan melalui talian bebas tol 1-800-886-800.

Ops Titik, KPDNKK

Artikel Lain