suria

Tiada Tempoh Tertentu Khidmat Kaunseling Bagi Keluarga MH370 & MH17 - Mei Fun

Chew Mei Fun.
KUALA LUMPUR: Khidmat kaunseling yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan MH17 tidak terhad kepada tempoh masa tertentu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, keluarga penumpang dan anak kapal kedua-dua penerbangan tersebut boleh mendapatkan khidmat kaunseling selagi mereka memerlukannya. 
 
"Tidak kira pada bila-bila masa pun jika keluarga penumpang dan anak kapal MH370 dan MH17 memerlukan khidmat kaunseling, kementerian akan sediakan kaunselor. 
 
"Malah khidmat kaunseling yang disediakan JKM bukan hanya terhad untuk keluarga penumpang dan anak kapal MH370 dan MH17, tetapi segenap lapisan masyarakat yang memerlukan perkhidmatan tersebut," kata Chew yang juga Naib Presiden MCA dalam sidang media di Wisma MCA di sini, hari ini. 

Pesawat MH370 yang sedang dalam penerbangan ke Beijing berserta 239 penumpang dan anak kapal didapati hilang daripada imbasan skrin radar sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Mac lalu.

Sebanyak 38 penumpang dan kesemua 12 anak kapal MH370 merupakan warga Malaysia. Usaha pencarian MH370 membabitkan beberapa buah negara masih diteruskan.

Penerbangan MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat yang membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal dipercayai ditembak jatuh, tetapi sehingga kini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas perbuatan kejam itu. 

Sebanyak 43 individu termasuk 15 anak kapal MH17 merupakan rakyat Malaysia.

MH370, MH17, MAS, JKM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain