suria

Hormati Perasaan Kaum Lain Bila Guna Internet - Jailani Johari

HULU TERENGGANU: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari sekali lagi menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahguna kemudahan internet. 
 
"Kerajaan sudah berusaha memberi yang terbaik dengan menaiktaraf perkhidmatan jalur lebar. 
 
"Namun masih ada segelintir orang menyalahgunakan perkhidmatan internet untuk menyebar dakyah, perkara bersifat negatif atau menghina agama serta sultan," katanya. 

Beliau berkata masyarakat seharusnya berfikiran rasional dan menghormati perasaan kaum lain dalam menggunakan internet, terutama memandangkan negara ini rakyatnya berbilang kaum dan agama. 

Jailani merujuk kepada kes seorang pemuda yang menulis di Facebook mempersoalkan bacaan ayat suci al-Quran menerusi pembesar suara pada awal pagi yang menurutnya mengganggu orang ramai. 

Jailani berkata tindakan tegas sewajarnya dikenakan terhadap individu yang menyalahgunakan internet untuk diberi pengajaran setimpal. 

Menurutnya proses tindakan ini tidak semestinya di bawah akta Kementerian Komunikasi dan Multimedia, malah di bawah Akta Hasutan juga.

Jailani bercakap kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Parlimen Hulu Terengganu yang dihadiri kira-kira 7,000 tetamu di Waterfront Kuala Berang di sini hari ini. 

Sempena majlis tersebut, Jailani turut melancarkan Tabung Gaza bagi membantu penduduk di Palestin yang sedang berdepan dengan keganasan tentera Israel. 

internet, kaum, Jailani

Artikel Lain