suria

Polis Tahan Empat Suspek Kes Pukul Pelajar Warga Ireland

KOTA KINABALU: Polis menahan empat suspek lelaki tidak sampai 24 jam selepas mereka dipercayai mempunyai kaitan dalam kes pergaduhan memukul dua pelajar lelaki warga Ireland di sebuah pusat hiburan di Asia City di sini, awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata kedua-dua suspek termasuk seorang warga Filipina yang masing-masing berumur 35 tahun dan 21 tahun ditangkap di sekitar Asia City pada 11.40 malam tadi.
 
"Susulan penangkapan suspek terbabit, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kota Kinabalu menangkap dua lagi suspek lelaki yang berusia 50 tahun dan 42 tahun pada kira-kira 2.30 pagi tadi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Chandra berkata polis percaya kes itu selesai, namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian yang dipercayai atas faktor bersifat provokasi dan serangan peribadi.

Beliau berkata kedua-dua pelajar yang berusia 23 tahun itu merupakan pelajar perubatan di sebuah universiti di Ireland yang sedang menjalani latihan di Hospital Queen Elizabeth mengalami kecederaan ringan dan dilaporkan stabil.

"Seorang pelajar cedera di rahang dan daku serta lebam di pipi kanan dan kiri sementara seorang lagi cedera di bahagian kepala menerima rawatan di KPJ Sabah Specialist Hospital," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Chandra berkata polis menahan tiga suspek selepas sejam melakukan samun di dua buah kedai 24 jam di dua lokasi di sekitar bandar raya ini, awal hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang menyamar sebagai pembeli merompak kedai pertama di Universiti Apartment, Jalan Sulaman pada pukul 4.10 pagi sebelum melakukan jenayah yang sama 10 minit kemudian di Inanam.
 
"Selepas menerima maklumat kejadian pertama, polis mengesan sebuah kereta jenis Wira Aeroback hitam pada kira-kira 5.20 pagi di Luyang dan menangkap tiga suspek yang berusia antara lingkungan 21 tahun hingga 36 tahun," katanya.

Chandra berkata antara barangan yang dirampas termasuk kereta terbabit, dua bilah parang pemotong daging dan wang tunai hasil samun di kedua-dua kedai yang dianggarkan berjumlah RM21,000.
suspek kes

Artikel Lain