suria

Umno Nilai Cadangan Dr Mohd Zuhdi

ALOR GAJAH: Umno akan menilai daripada pelbagai sudut sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai cadangan Pengarah Operasi, Pusat Penyelidikan PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki supaya PAS Selangor keluar daripada pakatan pembangkang dan membentuk kerajaan negeri dengan Umno.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berkata cadangan itu mungkin bersifat peribadi dan tiada hubungan dengan parti PAS.

"Kita dah banyak kali mengusulkan dengan PAS daripada dahulu (untuk bekerjasama) tetapi tidak mendapat sambutan yang baik.

"Kali ini walaupun dimulakan dalam kalangan anggota PAS sendiri, terserah kepada pucuk pimpinan PAS untuk menilai suara akar umbi mereka...kita (Umno) tunggu dan lihat," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Umno Bahagian Masjid Tanah di sini, Khamis.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perbincangan melalui mesej WhatsApp Dr Mohd Zuhdi dengan anggota jawatankuasa PAS yang mencadangkan agar PAS Selangor keluar daripada pakatan pembangkang dan membentuk kerajaan negeri bersama Umno.

Ab Rauf yang juga Ketua Umno bahagian Masjid Tanah bagaimanapun berkata Umno sentiasa terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan pihak yang mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat.


Umno, Pas

Artikel Lain