suria

Mahkamah Tinggi Benarkan Semakan Hukuman Lelaki Tunjuk Isyarat Lucah

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini Khamis membenarkan permohonan semakan hukuman seorang juruukur bahan yang mengaku bersalah menunjukkan isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dan seorang pegawai polis tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Wong Teck Meng turut memerintahkan Leong Pei Koe, 30, dibicarakan semula di hadapan majistret lain.

Bagi pertuduhan pertama, Leong didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada Tuanku Hajah Haminah ketika kenderaan rasmi baginda melalui balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, dekat sini pada 11.50 pagi 11 Februari tahun lepas.

Dia turut didakwa melakukan kesalahan sama kepada pegawai polis ASP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 294 (a) kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Wong berkata, kedua-dua pertuduhan yang dihadapi Leong tidak digambarkan dengan jelas dalam fakta pendakwaan.

"Fakta itu tidak menunjukkan bagaimana isyarat ini boleh dianggap sebagai lucah dan oleh itu saya menolak rayuan balas pendakwaan berhubung ketidakcukupan hukuman terdahulu," katanya.

Pada 7 Mac lepas, Leong memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara sebulan dan denda RM8,000 yang dijatuhi Mahkamah Majistret Balik Pulau dekat sini pada 13 Februari 2013 selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Peguam R.S.N Rayer, yang mewakili Leong, turut mengemukakan permohonan agar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zamani Abdul Rahim menarik diri daripada mendengar kes itu kerana Zamani membuat pernyataan prejudis semasa prosiding rayuan itu disebut di hadapannya pada 15 Mei lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit.

isyarat lucah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain