suria

Pengumuman Raya Diselaras Sejak 31 Tahun Lalu

KUALA LUMPUR: Bagi umat Islam di negara ini terutama kanak-kanak, malam 29 Ramadan ditunggu-tunggu kerana pada malam itu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengumumkan tarikh 1 Syawal menandakan Aidilfitri.

Pengumuman itu yang dibuat bagi seluruh negara disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) sejak 31 tahun lalu.

Dalam temu bual dengan Bernama di sini, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berkata, sebelum 1983, perisytiharan tarikh penting umat Islam termasuk penentuan Ramadan dan Syawal tidak diselaraskan.

"Pernah berlaku sebuah negeri mengumumkan tarikh raya sehari lebih awal daripada negeri-negeri lain," katanya menambah pada era tersebut tarikh berkenaan ditentukan menerusi pencerapan anak bulan di beberapa lokasi.

Bagi menangani masalah itu, beliau berkata, pada 1983 raja-raja Melayu selaku ketua agama Islam negeri memutuskan penentuan tarikh penting umat Islam dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong dan terpakai untuk semua negeri.

"Titah demikian bertepatan dengan peruntukan Perlembagaan di bawah Perkara 38 Fasal (2) perenggan (b) iaitu Majlis Raja-Raja hendaklah menjalankan fungsinya bagi mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama (Islam) diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh", katanya.

Jawatan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja diwujudkan pada 1948 setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Syed Danial merupakan penyandang ke-16 sejak 2011.

Syed Danial juga Setiausaha Majlis Raja-Raja yang berperanan mengurus dan menyelaras mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Artikel Lain