suria

Mastura Sempat Salam, Minta Maaf - Bapa

Mustafa memandang sayu potret anaknya ketika di temubual di rumahnya di Kampong Sentosa, Paroi dekat Seremban pada Jumaat.
SEREMBAN: "Sebelum Mastura pergi kerja dia salam dan minta maaf kepada saya," ungkap Mustafa Abdul Samad, bapa pramugari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine, pada Jumaat.

Mustafa, 83, berkata kali terakhir beliau berjumpa Mastura, 40, pada petang Rabu lepas sebelum mangsa pergi bekerja. 

"Saya tengok dia macam biasa sahaja. Saya mengetahui kejadian menyedihkan ini pada 8 pagi tadi menerusi jiran yang mendapat maklumat melalui Internet," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sentosa, Paroi dekat sini, Jumaat.

Katanya anak bongsu daripada tujuh beradik itu memang mengambil berat dirinya dan anak tunggalnya, Muhriz Marzaidi, 10, yang tinggal bersamanya di Kampung Sentosa.

Katanya Mastura sering menghubunginya setiap kali bertugas di luar negara, termasuk kali ini ke Amsterdam. 

"Memang itulah sifat dia, anak yang baik dan tidak lupa menghubungi keluarga setiap kali bertugas di luar negara," kata Mustafa.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah, yang tinggal berjiran dengan pembantu juruterbang pesawat MH17, Choo Jin Leong Eugene, 45, yang turut terkorban dalam nahas itu menyifatkan mendiang sebagai seorang jiran yang baik dan peramah. 

Mohd Ridzuan, 45, yang kebetulan tinggal tidak jauh dari kediaman mendiang di sebuah perumahan elit di Seremban 2, berkata Eugene sering bertegur sapa dengan jiran tanpa mengira bangsa.

"Beliau seorang yang baik dan sering dilihat beramah mesra dengan penduduk di kawasan ini tanpa mengira bangsa. Kali terakhir saya bertemu dengannya ialah pada Sabtu lepas, namun tidak menyangka perkara sebegini akan berlaku," katanya ketika ditemui. 

Beliau berkata dia melihat keluarga mangsa amat sedih dengan kejadian itu dan rumah itu menjadi lokasi saudara-mara berkumpul sejak pukul 5 pagi Jumaat.

Cubaan media untuk menemu bual keluarganya tidak berhasil kerana tidak dibenarkan masuk ke perumahan itu oleh pihak kawalan keselamatan yang mendakwa menerima arahan pihak atasan.

MH17, MAS, Mastura

Artikel Sebelum

Foto Tragedi Nahas MH17

Artikel Lain