suria

Ramadan Bulan Sibuk Buat Penghuni Penjara Wanita Kajang

KUALA LUMPUR: Setiap kali datang Ramadan, aktiviti bagi penghuni Penjara Wanita Kajang menjadi lebih sibuk.

Rutin harian bagi 38 penghuninya berubah dengan mereka perlu bertugas seawal 7 pagi dan secara syif mereka akan membancuh tepung, membakar kuih dan seterusnya menyusunnya dalam kotak sebelum diedarkan kepada organisasi dan orang perseorangan yang menempah kuih daripada penjara berkenaan.

Timbalan Penguasanya Norneelah Shukur berkata 12 jenis kuih dihasilkan penghuni antaranya biskut mazola, bangkit cheese dan almond landon.

Organisasi seperti Persatuan Keluarga Polis (Perkep) merupakan pelanggan tetap mereka setiap kali menjelang Hari Raya.

"Dalam sehari kita boleh hasilkan empat jenis kuih antara 500 hingga 600 balang. Harga yang ditawarkan ialah sekitar RM22 hingga RM25 bagi 50 biji (setiap balang).

"Setiap tahun, kita sasarkan untuk menjual sekitar 3,000 balang mengikut permintaan. Kuih dalam bentuk hamper pula dijual antara RM75 hingga RM120," kata Norneelah.

Tinjauan Bernama mendapati 15 penghuni bertugas dalam satu syif yang kebanyakkannya terdiri daripada warga asing yang ditahan di bawah Akta Imigresen.

Kuih yang dihasilkan mendapat sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Beliau berkata 12 penjara di seluruh negara turut terlibat dalam penghasilan 42 jenis kuih raya, 18 makanan ringan dan tujuh makanan produk sejuk beku tahun ini.

"Kudrat penghuni yang digunakan untuk penghasilan kuih raya bukanlah percuma kerana setiap daripada mereka dibayar insentif walaupun nilainya tidak besar.

"Pembelian kuih raya daripada penghuni penjara sebenarnya memberi sokongan moral kepada kami bagi membantu pelaksanaan program pemulihan penghuni. Ia sekurang-kurangnya dapat dijadikan modal atau duit belanja bagi penghuni untuk pulang ke tempat mereka apabila dibebaskan kelak," tambah Norneelah.

Bagi seorang penghuni, Elina, 26, yang berasal dari Kuching, ilmu yang didapati membuat kuih raya akan digunakan apabila dia dibebaskan kelak.

"Saya memang gemar membuat kuih. Saya rancang buka kedai kuih apabila dibebaskan nanti," katanya yang dipenjarakan selama enam tahun atas kesalahan membunuh tanpa niat.
penjara Kajang

Artikel Lain