suria

Pembuat Roti Bimbang Rumah Jadi Sasaran Serangan Pemberi Pinjam Wang

Chua (tengah) menunjukkan beberapa keping gambar rumahnya yang disimbah cat merah pada sidang media, Selasa.
JOHOR BAHRU: Seorang pembuat roti dan keluarganya kini hidup dalam ketakutan kerana rumahnya telah disimbah dengan cat merah sebanyak lima kali dalam tempoh lapan bulan. 

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Chua, 35, mengesyaki penyerang adalah pemberi pinjam wang yang telah tersilap menyimbah cat merah ke rumahnya kerana dia tidak pernah membuat pinjaman wang.

"Saya berpandangan pemberi pinjam wang telah mendapat alamat yang salah dan tanpa disedari mereka telah berkali-kali menyerang rumah saya.

"Saya bimbangkan keselamatan isteri dan tiga anak saya yang masih kecil kerana serangan boleh menjadi lebih agresif jika kesilapan itu tidak diperbetulkan segera," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, Selasa. 

Katanya, dia telah membuat dua laporan polis berhubung perkara itu, di mana laporan yang pertama dibuat selepas insiden pertama berlaku pada bulan November tahun lepas manakala laporan kedua dibuat Sabtu lepas selepas kejadian serupa berlaku buat kali kelima.

"Dalam kedua-dua kejadian yang dilaporkan, kereta saya rosak apabila cat merah telah dicurahkan di kereta saya," kata Chua sambil menambah dia menganggarkan kerugian hampir RM400 untuk keretanya dalam kedua-dua kejadian itu.
pemberi pinjam wang, cat merah

Artikel Lain