suria

Najib Gesa Umat Islam Hayati Semangat Nuzul al-Quran

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menggesa seluruh umat Islam supaya sama-sama menghayati semangat Nuzul al-Quran serta bersatu dalam menegakkan agenda ummah.

Perdana Menteri, dalam perutusan Nuzul Al-Quran yang akan disambut esok, turut mengajak umat Islam berstrategi dengan matang dan berhikmah supaya tanggungjawab menjaga agama Islam di bumi bertuah ini dilaksana dengan sempurna. 

"Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT, yang mana hanya dengan izinNya, kita masih lagi dapat bersama dengan rahmat Ramadan al-Mubarak, seterusnya pada tarikh 17 Ramadan ini, kita dapat meraikan peristiwa agung Nuzul al-Quran. 

"Saya mendoakan supaya dengan keberkatan Nuzul al-Quran pada Ramadan yang mulia ini, Allah SWT menyatukan hati kita semua. Mudah-mudahan segala amalan kita diterima oleh Allah SWT jua," kata Najib dalam laman Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, Nuzul al-Quran yang merujuk kepada peristiwa turunnya ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadan telah mengubah dan membina peradaban ummah.

Najib berkata, al-Quran bukan saja dipaparkan indah kaligrafinya, dialunkan dengan merdu lenggok bacaannya, malah merupakan satu mukjizat yang terus kekal mendampingi umat Islam untuk diambil petunjuk dan hidayahnya yang terus relevan sepanjang zaman.

"Sudah tentu Nuzul al-Quran bukan sekadar satu nostalgia sirah buat kita semua, bahkan penurunan al-Quran ini merupakan satu titik mula transformasi insani daripada kegelapan jahiliah kepada indahnya sinar cahaya Islam," katanya. 

Perdana Menteri berkata, al-Quran sememangnya adalah panduan abadi lagi hakiki buat insan sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah melalui ayat dua surah al-Baqarah: "Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa."

Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara Islam moden dan progresif, sentiasa berusaha untuk membawa kemajuan dan kemakmuran pada tahap yang terbaik, tanpa mengabaikan didikan kerohanian sebagaimana yang dianjurkan oleh al-Quran.

"Kita amat percaya bahawa hanya dengan mempunyai warga yang mampu berdaya saing dan berkualiti, barulah impian kita untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan menjadi kenyataan," katanya.

Nuzul Al Quran

Artikel Lain