suria

Pasukan Keselamatan Diberi Kuasa Tembak Penceroboh - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi.
KANGAR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pasukan keselamatan diberi kuasa untuk menembak mana-mana pihak yang didapati menceroboh perairan negara.
 
"Kerajaan tiada sebarang masalah jika itu (menembak) boleh halang penceroboh daripada memasuki Malaysia," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yang meminta kerajaan membenarkan pasukan keselamatan menembak mana-mana pihak atau kumpulan yang menceroboh perairan Sabah.

Kenyataan Abdul Aziz itu menyusuli kejadian serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata berat di Pulau Mabul, Semporna pada Sabtu lepas yang mengorbankan seorang anggota polis marin manakala seorang lagi dilarikan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata penceroboh menghubungi pihak berkuasa pagi tadi untuk memaklumkan anggota polis yang diculik itu dalam keadaan selamat, namun soal wang tebusan tidak disebut.

Mengenai pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar sistem kawalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (Esscom) diteliti semula, Ahmad Zahid berkata beberapa perubahan akan diperkenalkan apabila operasi Esscom diambil alih oleh Polis Diraja Malaysia.
 
"Kita juga harus lebih proaktif, tidak boleh tunggu mereka menyerang baru nak ambil tindakan. Perubahan baru ini termasuk kaedah pengendalian dan pengawasan yang lebih tegas," katanya.

Ahmad Zahid berkata semua pasukan keselamatan di perairan timur Sabah juga sudah diarahkan agar lebih berwaspada.
 
"Kerajaan juga berharap nelayan, pemilik bot dan penduduk di perkampungan air bekerjasama dengan pihak berkuasa. Penceroboh tidak ada hasrat menghormati atau patuh undang-undang kita dan sebab itu kita tidak boleh bertolak ansur soal keselamatan negara dengan kumpulan ini," katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga dua anggota polis terbabit.

Dalam kejadian 11.10 malam itu, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, terkorban dan rakan setugasnya Konstabel Zakia Aliep, 26, diculik. 

Ahmad Zahid, tembak, penceroboh

Artikel Berikut

PAS Pecat Tiga Orang Ahli

Artikel Lain