suria

Denggi: Perlis Catat 10 Kes Baharu

KANGAR: Sebanyak sepuluh kes baharu kes demam denggi dan denggi berdarah dilaporkan di Perlis menjadikan 110 kes sehingga kini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perlis Dr Zaini Hussin berkata kes itu berlaku dalam tempoh seminggu berakhir 5 Julai lepas, meningkat satu kes berbanding minggu sebelumnya.

Jumlah itu menunjukkan penurunan 18 kes atau 14.06 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2013 yang mencatatkan 128 kes, katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Tiada kematian berlaku akibat demam denggi berdarah dilaporkan sehingga kini.

Empat kawasan wabak dikenal pasti iaitu Taman Mutiara dan Taman Kemajuan (Utan Aji), Pekan Baru Kaki Bukit dan Felda Chuping dan semuanya terkawal, katanya.

Menurutnya sembilan kawasan didapati mempunyai indeks pembiakan Aedes yang tinggi dan berpotensi untuk berlaku demam denggi iaitu Felda Chuping; Kampung Guar Ujong Batu, Taman Kemajuan dan Kampung Surau (Utan Aji); Kampung Ngulang dan Taman Merpati (Kangar); Kampung Kenangan dan Jalan Sungai Baru (Simpang Empat) serta Taman Utara Jaya (Kuala Perlis).
Denggi, Denggi Berdarah

Artikel Lain