suria

505 Kes Kesalahan Jualan Murah Dikenakan Tindakan - Hasan Malek

Jualan murah sempena musim perayaan adalah amalan biasa. Gambar Hiasan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengambil tindakan terhadap 505 kes kesalahan jualan murah dengan nilai rampasan sebanyak RM769,856 bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.


Menterinnya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, kesalahan itu termasuk kegagalan peniaga menghantar notis kepada KPDNKK bagi mendapatkan permit untuk mengadakan jualan murah, penjualan barangan tiruan serta tidak mempamerkan tanda harga.

"Peniaga yang ingin mengadakan jualan murah perlu mematuhi Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997.

"Di bawah peraturan tersebut, mana-mana peniaga yang mahu mengadakan jualan murah perlu terlebih dahulu menghantar notis kepada KPDNKK dalam masa 14 hari sebelum tarikh tawaran jualan murah diadakan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan Bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad.

Hasan berkata, KPDNKK juga menerima sejumlah 5,363 notis jualan murah daripada peniaga di seluruh negara yang ingin mengadakan jualan seumpama itu bagi tempoh Januari hingga Julai.

Katanya, ia meliputi permohonan bagi mengadakan jualan murah di tiga acara utama yang ditetapkan oleh KPDNKK iaitu Jualan Malaysia GP, Karnival Jualan Mega Malaysia dan Jualan Akhir Tahun Malaysia.

Beliau juga berkata, pihaknya menerima sebanyak 1,854 notis jualan murah bagi menyertai Karnival Jualan Mega yang bermula sejak 28 Jun hingga 1 September ini.

"Jumlah jualan murah yang boleh diadakan dalam tempoh setahun adalah lapan kali iaitu tiga kali ditetapkan oleh kerajaan dan baki lima, atas pilihan peniaga," jelasnya.


jualan murah, KPDNKK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain