suria

Pampasan Tanah Alam Perdana: Kerajaan Negeri Fail Rayuan

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan memfail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan pampasan kepada pemaju perumahan Alam Perdana, LBCN Development Sdn Bhd (LBCN) dinilai berdasarkan status pembangunan bercampur.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan negeri berpendapat pampasan terhadap LBCN yang telah dipersetujui sebelum ini adalah memadai.

Ini mengikut penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian Hartanah berdasarkan tanah pertanian dengan potensi untuk pembangunan, katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak boleh membayar pampasan diputuskan mahkamah 9 Julai lepas kepada LBCN berdasarkan status pembangunan sepenuhnya.

Ini kerana syarikat itu telah melanggar peraturan-peraturan dan syarat yang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan dan Kanun Tanah Negara 1965, kata beliau.

"LBCN telah mengaku gagal membayar premium tanah, gagal menukar status tanah dari pertanian kepada pembangunan dan menjalankan projek pembangunan secara haram dan tanpa kelulusan pihak berkuasa," dakwa Abdul Khalid.

Projek Bandar Alam Perdana melibatkan projek pembangunan rumah kos rendah dan rumah teres terbengkalai sejak tahun 2002.

Ekoran itu, kerajaan negeri terpaksa merampas tanah itu disebabkan peneroka-peneroka telah menyerahkan tanah itu kepada pemaju untuk dimajukan dan ribuan pembeli rumah gagal mendapat rumah mereka.

Walaupun projek ini diluluskan kerajaan negeri ketika itu, status tanah belum ditukar dari tanah pertanian kepada pembangunan di atas kegagalan pemaju membayar premium tukar syarat.

Kerajaan Selangor mengambil alih projek yang berkeluasan 1,037 ekar itu daripada Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan membelanjakan sebanyak RM200 juta untuk membiayai kos pembinaan rumah, pembayaran pinjaman bank dan menyediakan infrastruktur lain.
Perumahan Alam Perdana

Artikel Sebelum

Artikel Lain